‘Yang diam telah bersuara’, BN rai kemenangan

‘Yang diam telah bersuara’, BN rai kemenangan

Rakyat pilih BN demi perpaduan, kata seorang lagi wakil rakyat.

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, dan Ahli Parlimen Azalina Othman Said menyifatkan kemenangan PRK Ayer Kuning adalah suara majoriti dan cerminan kepercayaan rakyat.
PETALING JAYA:
Pemimpin Barisan Nasional menyifatkan kemenangan pada PRK DUN Ayer Kuning sebagai suara kelompok majoriti yang mahukan politik baharu dan kematangan.

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menulis BN dalam diam bermuhasabah dan membaiki kelemahan ketika ia dikutuk, diperlekeh, dan dikatakan tiada taring.

“Yang diam itu telah bersuara di peti undi,” katanya di Facebook, sambil berterima kasih kepada pengundi Ayer Kuning dan semua jentera yang memenangkan BN.

BN mengekalkan penguasaan di DUN Ayer Kuning dengan majoriti lebih besar, iaitu kelebihan 5,006 undi berbanding 2,213 pada PRU 2022, walaupun peratusan keluar mengundi kali ini lebih rendah, iaitu 58.07% berbanding 74.85%.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan BN peroleh 11,065 undi sementara Perikatan Nasional dan Parti Sosialis Malaysia masing-masing raih 6,059 dan 1,106 undi.

Seramai 31,897 pengundi dalam daftar pemilih PRK Ayer Kuning.

BN mempertahankan Ayer Kuning sejak ia diwujudkan pada 1986. PRK diadakan susulan kematian Ishsam Shahruddin pada 22 Feb.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said berkata majoriti yang diperolehi cerminan kepercayaan rakyat kepada BN serta keyakinan terhadap kebolehan kerajaan.

“Rakyat memilih kita demi perpaduan yang membawa kepada kemakmuran dan kestabilan,” kata Ahli Parlimen Pengerang itu di platform X.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.