
Bekas ketua menteri Sabah itu berkata keputusan GRS tidak meletakkan calon mengelakkan perpecahan undi.
“Ia juga membolehkan sokongan daripada pengundi yang mempunyai pemikiran yang sama disatukan kepada seorang calon,” katanya di Facebook.
Pada Sabtu, BN berjaya mempertahankan Lamag dan Kinabatangan dengan majoriti yang lebih kukuh.
Di Lamag, Ismail Ayob menang dengan kelebihan 5,681 undi dalam persaingan satu lawan satu, dicabar calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek.
Di Kinabatangan, Naim Kurniawan — anak kepada penyandang, Bung Moktar Radin — menewaskan dua pencabar lain dengan kelebihan 14,214 undi.
Pada Disember lalu, Pengerusi GRS Hajiji Noor menyatakan gabungan itu cenderung untuk memberi laluan kepada BN sebagai tanda hormat kepada parti yang memenangi kerusi tersebut sebelum ini. Hajiji menambah, GRS akan memberi tumpuan untuk menyokong BN bagi memastikan kemenangan.
Sementara itu, Salleh menyatakan faktor lain yang menyumbang kepada kemenangan BN termasuklah kerjasama antara BN dan GRS, selain rasa simpati serta penghargaan atas sumbangan Bung yang turut mempengaruhi sentimen pengundi.
Katanya lagi, pemilihan calon yang tepat mengukuhkan keyakinan pengundi, manakala jentera yang kuat dan tersusun di peringkat akar umbi memastikan kempen berkesan.
“Secara keseluruhan, kemenangan ini membuktikan kerjasama politik yang matang, calon yang tepat, dan jentera parti yang cekap kunci kejayaan.”
Dua hari lalu, Naim turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jentera GRS atas kemenangannya.