Akta Orang Asli perlu cerminkan isu semasa, kata Ahli Parlimen

Akta Orang Asli perlu cerminkan isu semasa, kata Ahli Parlimen

Ramli Mohd Nor dari kaum Semai berkata isu semasa yang perlu diselesaikan membabitkan pewartaan rizab tanah.

Ramli Mohd Nor berkata pindaan Akta Orang Asli 1954 juga harus diselaraskan dengan pemerkasaan digariskan di bawah kerangka Kongres Ekonomi Bumiputera.
PETALING JAYA:
Pindaan Akta Orang Asli 1954 yang disifatkan telah lapuk perlu fokus kepada pemerkasaan serta melindungi hak komuniti mengikut konteks semasa seperti isu pemilikan tanah,” kata wakil dari masyarakat terbabit.

Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor berkata dasar dan undang-undang terkandung dalam akta terbabit tidak lagi boleh mencerminkan realiti semasa.

Wakil rakyat dari suku kaum Semai itu memberi contoh bagaimana pewartaan kampung Orang Asli (KOA) yang setakat ini hanya membabitkan 312 kampung berbanding 363 disasarkan.

“Pewartaan tanah rizab setakat Januari itu membabitkan 35,622 hektar, ia bermakna hanya 43% daripada KOA telah diiktiraf.

“Kelemahan dalam pewartaan tanah ini menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan dan menjadikan komuniti terdedah kepada pencerobohan serta pemindahan paksa,” katanya kepada FMT.

Beliau turut menyatakan isu itu menjadi rumit disebabkan kelewatan kelulusan oleh pihak berkuasa negeri.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata kerajaan kini sedang meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) selepas tujuh tahun tidak dikaji semula, mengambil inspirasi daripada model pemerkasaan masyarakat Maori di New Zealand

Beliau berkata antara elemen utama diperkenalkan kerajaan New Zealand dan berpotensi disesuaikan di Malaysia ialah hak pemilikan tanah, akses pendidikan yang lebih inklusif serta penubuhan agensi pembiayaan khusus untuk menyokong keusahawanan komuniti peribumi.

Ramli berkata pindaan itu juga harus diselaraskan dengan pemerkasaan digariskan di bawah kerangka Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang selain pewartaan tanah rizab turut meliputi aspek pendidikan, infrastruktur dan keusahawanan.

Beliau turut mencadangkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan supaya ada peruntukan khas menjamin kebajikan dan hak mereka seperti masyarakat Melayu.

“Kesan daripada ketiadaan peruntukan ini ialah ketidaksamaan dalam akses kepada pemilikan aset, peluang ekonomi dan pembangunan sosial.

“Justeru, pindaan Akta Orang Asli 1954 perlu melibatkan semakan menyeluruh serta pengemaskinian pelaksanaannya,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan kerajaan kini sedang berusaha menyelesaikan pelbagai isu yang melibatkan masyarakat Orang Asli seperti pewartaan tanah dan pembaharuan dasar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.