Ada banyak kelebihan, KJ jangka BN menang PRK Nenggiri

Ada banyak kelebihan, KJ jangka BN menang PRK Nenggiri

Antara kelebihan dimiliki BN termasuk pengaruh Ku Li dan peningkatan sokongan pengundi Orang Asli, kata bekas ketua Pemuda Umno itu.

Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, pengaruh Ku Li yang besar dijangka dapat meningkatkan peluang BN menang pada PRK Nenggiri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin menjangkakan peluang Barisan Nasional (BN) merampas kerusi DUN Nenggiri daripada Perikatan Nasional (PN) cerah disebabkan pelbagai kelebihan dimiliki gabungan itu.

Antaranya, Khairy yakin faktor pengaruh Pengarah PRK Nenggiri Tengku Razaleigh Hamzah, yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal, akan membantu kemenangan BN.

“Saya rasa kita akan lihat ‘flip’ pertama pada PRK Nenggiri, pengaruh Ku Li besar,” kata Khairy, merujuk panggilan Tengku Razaleigh.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata, langkah menugaskan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor, yang juga Ahli Parlimen Orang Asli pertama, berkampung di kawasan Orang Asli untuk berkempen juga akan dapat meningkatkan sokongan komuniti itu terhadap calon BN.

Masyarakat Orang Asli membentuk 13% daripada populasi pengundi di kawasan DUN tersebut.

Bagaimanapun, Khairy berkata, sekiranya BN menang pada PRK Nenggiri, tidak dapat dirumuskan sama ada ia menjadi ‘isyarat besar’ bahawa sudah ada perubahan pola pengundi Melayu kembali menyokong BN.

“Tak boleh buat rumusan (pengundi Melayu kembali sokong BN), sebab ini cuma satu kawasan,” kata bekas ketua Pemuda Umno itu.

“Tetapi ia akan memberi sedikit berita gembira kepada BN (selepas) selama ini kecundang apabila nak cuba tawan semula kawasan yang kalah PRK lepas.”

Sekiranya keadaan itu berlaku, katanya, ia akan menjadi pemangkin semangat buat penyokong dan ahli Umno yang boleh diraikan dalam perhimpunan agung dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos.

PRK Nenggiri pada 17 Ogos depan akan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara BN diwakili Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dengan calon Bersatu mewakili PN Mohd Rizwadi Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.