Persatuan blockchain mohon perundangan lebih mesra, inklusif untuk aset digital

Persatuan blockchain mohon perundangan lebih mesra, inklusif untuk aset digital

Ia memaksa mereka akan dikenakan lesen, pemeriksaan dan keperluan modal berbayar yang menjadi halangan kepada pengusaha industri.

PUTRAJAYA: Satu persatuan blockchain menyuarakan kebimbangan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kerana peraturan baru mengenai aset digital yang berkuat kuasa 15 Januari lalu, dan memohon perundangan lebih mesra dan inklusif.

Affendi Arrifin, bendahari Persatuan Blockchain ACCESS memberitahu FMT, ketidakpuasan hati mereka yang utama adalah pengklasifikasian aset digital sebagai sekuriti.

“Ini bermakna kami duduk bawah SC, dikenakan lesen, pemeriksaan dan keperluan modal berbayar yang menjadi halangan kepada pengusaha industri,” katanya.

Pengusaha aset digital diberi hingga 31 Mac depan untuk mematuhi syarat tersebut. Dalam tempoh ini, mereka tidak dibenarkan menerima pelabur baru dan hanya dibenarkan memudahkan pengeluaran atau pemindahan aset pelanggan dengan arahan bertulis pelabur.

Mengenai tawaran awal syiling (ICO), SC menjelaskan, ia tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran suruhanjaya.

Garis panduan untuk ICO akan dikeluarkan di hujung suku pertama 2019. ICO yang sedia ada mesti hentikan kegiatan mereka dan kembalikan semua wang dan aset digital yang dipungut daripada pelabur.

Pengusaha sedia ada dikehendaki memohon kebenaran daripada SC sekiranya mereka berhajat mengusahakan selepas tempoh peralihan.

Bakal pengusaha juga boleh memohon kebenaran daripada SC sebaik sahaja garis panduan dikeluarkan. SC kemudian akan menilai semua permohonan dan memberi kebenaran kepada pengusaha pasaran yang memenuhi keperluan.

Bagaimanapun, Affendi menegaskan, sepatutnya rundingan diadakan dengan mereka sebelum SC mengeluarkan arahan tersebut.

SC juga menyatakan pengusaha aset yang “tidak selesa” dengan arahan tersebut boleh keluar dari pasaran menjelang 31 Mac.

Menurutnya, garis panduan itu akan disasarkan ke arah rejim berasaskan pendedahan dan sesiapa yang menawarkan ICO atau mengusahakan penukaran aset digital tanpa kebenaran boleh dihukum tidak lebih dari 10 tahun penjara dan denda tidak melebihi RM10 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.