Langkah kawal selia mata wang kripto idea buruk, kata ahli ekonomi

Langkah kawal selia mata wang kripto idea buruk, kata ahli ekonomi

Perniagaan atau peluang kewangan baharu berpotensi berdepan risiko kerana pengawalseliaan adalah kompleks dan memakan kos tinggi.

Pada Oktober, Suruhanjaya Sekuriti berkata, lebih RM16 bilion aset digital dan mata wang kripto didagangkan di Malaysia antara Ogos 2020 dan September tahun ini. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Dua ahli ekonomi menyokong keputusan Putrajaya mengelak daripada mengawal selia mata wang kripto, dengan seorang berkata, ia akan menjadi satu usaha yang membebankan dan seorang lagi mengalu-alukan cabaran terhadap monopoli kerajaan.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, pengawal selia akan terpaksa mengejar pedagang yang tidak patuh kerana mata wang kripto adalah aset persendirian yang dijana dalam pasaran global yang tidak dikawal selia.

“Selain itu, penguatkuasaan pengawalseliaan di peringkat antarabangsa hampir mustahil,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata, pasaran bebas untuk mata wang akan muncul jika mata wang kripto lebih diterima berbanding mata wang keluaran kerajaan.

Carmelo Ferlito.

“Keajaiban terbesar mata wang kripto bukanlah sifat spekulatifnya, tetapi pada hakikatnya ia mencabar monopoli kerajaan ke atas pengeluaran mata wang,” katanya kepada FMT.

“Harapan saya adalah lebih banyak perniagaan dan pengguna akan menerima mata wang kripto supaya ia dapat merungkai monopoli kerajaan ke atas pengeluaran mata wang dan kita boleh menuju ke arah (penggunaan) mata wang yang lebih stabil dan kurang inflasi.”

Mereka mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Eddin Syazlee Shith bahawa kerajaan tidak mempunyai rancangan segera untuk mengawal selia mata wang kripto kerana undang-undang untuk mengawal perdagangan itu sukar dikuatkuasakan.

Pada Oktober, Suruhanjaya Sekuriti berkata, lebih RM16 bilion aset digital dan mata wang kripto didagangkan di Malaysia antara Ogos 2020 dan September tahun ini.

Williams berkata, langkah menjadikan penggunaan mata wang kripto sah menarik kerana ia boleh menjadi sumber perniagaan dan peluang baharu jika dikawal selia dengan baik, namun tambahnya, ia tiada ciri asas bagi pasaran yang berfungsi dengan baik.

Geoffrey Williams.

“Maklumat antara pembeli dan penjual tidak sempurna, kedaulatan undang-undang tidak jelas atau ia boleh dikuatkuasakan dan aktiviti penipuan dan jenayah menjadi lazim,” katanya.

Beliau juga berkata, perniagaan atau peluang kewangan baharu berpotensi berdepan risiko kerana pengawalseliaannya kompleks dan memakan kos tinggi.

“Jika Malaysia dilihat sebagai hab untuk mata wang ini dan pengawalseliaan gagal, ia akan sangat merosakkan reputasi Malaysia dalam pasaran kewangan.”

Beliau berkata, Malaysia tidak sepatutnya mengikuti contoh Cuba atau El Salvador yang mengiktiraf mata wang kripto sebagai mata wang yang sah.

“Mereka hanya mementingkan perniagaan dan kewangan dalam apa jua bentuk tanpa mengira kos atau risiko,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.