Syed Zaid Albar letak jawatan pengerusi eksekutif SC

Syed Zaid Albar letak jawatan pengerusi eksekutif SC

Kementerian Kewangan susulan itu melantik Awang Adek Hussin sebagai pengerusi eksekutif SC yang baharu.

Syed Zaid Syed Jaffar Albar berkhidmat sebagai pengerusi eksekutif SC sejak 1 November 2018. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Syed Zaid Syed Jaffar Albar meletakkan jawatan sebagai pengerusi eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkuat kuasa 31 Mei.

Menerusi kenyataan, Kementerian Kewangan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan serta khidmat bakti Zaid sejak 1 November 2018.

Susulan peletakan jawatan itu, kementerian melantik Awang Adek Hussin sebagai pengerusi eksekutif SC yang baharu.

“Bagi memastikan peralihan yang lancar dan teratur serta memastikan kesinambungan pentadbiran SC, Kementerian Kewangan telah melantik Awang Adek Hussin sebagai pengerusi eksekutif SC yang baharu berkuat kuasa selama tiga tahun mulai 1 Jun 2022 hingga 31 Mei 2025.

“Pelantikan ini adalah selaras dengan Seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 [Akta 498],” katanya.

Kementerian Kewangan turut memaklumkan bahawa Awang Adek mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang pasaran modal dan kewangan Islam.

“Beliau berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang ekonomi daripada Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat. Antara pengalaman beliau adalah sebagai penolong gabenor Bank Negara Malaysia, bekas ahli Lembaga Pengarah SC, bekas pengerusi Tenaga Nasional Berhad, ketua pengarah pertama bagi Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Pesisir Labuan (LOFSA), bekas duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat dan pernah dilantik sebagai timbalan menteri kewangan pada 2006 hingga 2013,” katanya.

Katanya, berbekalkan pengalaman itu, Awang Adek dilihat mampu memberi sumbangan cemerlang bagi memastikan SC mencapai matlamatnya untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.