BNM akan gubal Akta Kredit Pengguna tahun depan, kata Gabenor

BNM akan gubal Akta Kredit Pengguna tahun depan, kata Gabenor

Ia bagi mengawal selia skim "Beli Sekarang Bayar Kemudian" (BNPL) yang menunjukkan peningkatan dalam kalangan pengguna.

Pengguna digesa membaca terma dan syarat dalam skim ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ dengan teliti termasuk membayar ansuran penuh tepat masanya bagi mengelak dikenakan penalti.
KUALA LUMPUR:
Bank Negara Malaysia (BNM) akan menggubal Akta Kredit Pengguna pada 2022 bertujuan mengukuhkan pengaturan kawal selia semua aktiviti kredit pengguna termasuk penyedia skim “Beli Sekarang Bayar Kemudian” (BNPL).

Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, bank pusat itu akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menggubal akta tersebut.

Beliau berkata, BNM sedang berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memantau perkembangan dan mendidik orang ramai tentang skim BNPL, namun jumlah bahagian kredit kepada isi rumah dan skim itu kekal rendah.

“Untuk sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah nilai urus niaga dianggarkan sekitar 0.05% daripada jumlah pinjaman isi rumah.

“Skim ini semakin meningkat bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara lain dan wujud kebimbangan yang berasas bahawa skim tersebut mungkin menggalakkan pengguna berbelanja di luar kemampuan mereka dengan hutang tinggi yang mungkin tidak mampu mereka bayar dan kebanyakan Skim BNPL di Malaysia ditawarkan oleh sektor bukan bank,” katanya.

Nor Shamsiah dipetik berkata demikian semasa sidang media bersama BNM dan Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai prestasi KDNK suku ketiga suku ketiga 2021 Malaysia di sini hari ini.

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya membaca terma dan syarat dengan teliti terutamanya mengenai yuran dan caj, untuk membayar ansuran penuh tepat pada masanya untuk mengelakkan penalti.

Katanya, pengguna juga perlu mengambil perhatian dan menyimpan rekod setiap komitmen berkaitan skim BNPL yang mereka sertai untuk memastikan pengurusan hutang yang betul.

Penggubalan Akta Kredit Pengguna yang diumumkan dalam Bajet 2021 bertujuan menyediakan rangka kerja kawal selia bagi pengeluaran kredit pengguna selain mengukuhkan pengawasan terhadap penyedia kredit bukan bank.

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia sudah lama mencadangkan supaya akta berkenaan diperkukuhkan bagi memberi perlindungan kepada pengguna dalam sektor kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.