
Komander Polis Marin Wilayah 1, ACP Rosman Ismail berkata Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menasihatkan kerja mengangkat kenderaan itu dari dasar laut dimulakan lewat bagi mengelakkan kesesakan di atas jambatan kerana esok hari bekerja.
“Bagaimanapun, bot-bot penyelamat kita akan berada di lokasi itu seawal 7 pagi,” katanya selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) kereta serta mangsa terhumban ke laut itu ditangguhkan 7 malam tadi.
Beliau berkata, operasi esok mungkin lebih mudah dan tidak mengambil masa lama kerana pasukan penyelamat berjaya mengesan kedudukan SUV itu yang berada 15m dari lokasi ia jatuh ke laut berkedalaman 15m.
Mengulas hari ke-2 operasi SAR hari ini, Rosman berkata, pihaknya mengalami kesukaran mengeluarkan kereta itu berikutan arus deras selepas ia berjaya dikesan 4 petang tadi.
“Pihak penyelam menghadapi beberapa kesukaran disebabkan arus yang begitu kuat. Tambahan pula, keadaan air pula ‘very bad’. Bagaimanapun, penyelam berselang-seli turun ke dasar laut untuk mengikat tali pada kenderaan.
“Malangnya, tali yang diikat itu terlepas pada tempat yang kita ikat. Jadi, usaha pencarian ini perlu ditangguhkan pada 7 malam kerana keadaan cuaca yang semakin gelap bagi memastikan keselamatan pasukan penyelamat.”
Beliau berkata, operasi SAR hari ini melibatkan 5 agensi, termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia, polis, polis, Angkatan Pertahanan Awam, polis marin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Ditanya jika terdapat kemungkinan kedudukan kereta itu akan berubah, Rosman berkata, kedudukan kenderaan itu tidak akan berubah kerana ia sudah berada di dasar laut.
SUV itu dipandu penuntut kolej swasta, Moey Yun Peng, 20, selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta pada 2.54 pagi semalam.
Kenderaan itu ditemui di Tiang 34 Jambatan Pulau Pinang petang tadi, sebelum sebuah kren berkapasiti tinggi tiba di lokasi kejadian pada 5.45 petang untuk memulakan usaha membawa keluar kenderaan itu dari dasar laut.