
Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin berkata polis merekodkan keterangan daripada wanita yang terjatuh ke dalam laut itu, anggota tentera menyelamatkan kedua-dua mangsa dan doktor merawat mereka.
“Setakat ini polis masih belum merekodkan keterangan pegawai polis berpangkat Inspektor yang masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana kecederaan di kepala serta tidak dapat bergerak.
“Selain itu, lelaki berusia 37 tahun tersebut turut mengalami kecederaan patah bahu sebelah kiri selepas turut jatuh ke dalam laut dalam kejadian tersebut,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh.
Semalam, polis berkata wanita itu mendakwa dia ditolak rakan lelakinya ketika mereka bertengkar di hentian jambatan itu.
Menurut Khaw, berdasarkan keterangan awal wanita berusia 40 tahun mendakwa telah ditolak rakannya sebelum lelaki itu sama-sama terjatuh ke dalam laut.
Seorang lelaki yang juga anggota tentera dilaporkan terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan pasangan berkenaan. Mereka kemudiannya diselamatkan oleh bot nelayan.