
Dr Muhsin Ahmad Zahari dari Universiti Malaya berkata langkah itu, digabungkan dengan sistem pengawasan seperti CCTV, boleh menghalang individu terbabit daripada terjun jambatan, memberi masa kepada responden untuk bertindak.
“Ia akan memberi masa untuk bantuan diberikan kepada mereka. Gabungan pencegahan dan campur tangan ini boleh menyelamatkan nyawa,” katanya kepada FMT.
Muhsin mengulas insiden seorang dilaporkan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang dua minggu lalu, mendorong operasi mencari dan menyelamat. Sebuah kereta dipercayai milik lelaki berusia 64 tahun dari Jelutong itu ditemui ditinggalkan, bersama kasut dan begnya.
Dalam jawapan bertulis dibentangkan di DUN Pulau Pinang pada 22 Nov tahun lepas, Jabatan Kesihatan negeri menggesa pemasangan penghadang keselamatan untuk menghalang individu daripada terjun jambatan.
Bagaimanapun, kerajaan negeri memilih untuk mengutamakan peningkatan kempen kesedaran buat masa ini.
Jawapan bertulis itu juga mendedahkan bahawa terdapat 23 cubaan membunuh diri di jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang antara 2020 dan 2023, dengan majoriti berlaku pada jambatan pertama.
Selain itu, Muhsin berkata kes yang dilaporkan secara meluas, terutamanya yang melibatkan selebriti, boleh mencetuskan cubaan membunuh diri secara ‘copycat’ dalam kalangan orang awam. Beliau menggesa media berhati-hati dalam melaporkan kes sedemikian dan bertanggungjawab untuk meminimumkan risiko itu.
Beliau turut menggesa orang ramai mengawasi sebarang petanda dalam kalangan orang terdekat mereka yang mengalami putus asa serta perubahan tingkah laku yang ketara.
Menurutnya, agar program outreach juga perlu dianjurkan disasarkan kepada individu yang tidak pernah mendapatkan bantuan psikologi selain menekankan kepentingan perkhidmatan secara peribadi serta akses dalam talian yang boleh membantu.
“Sesetengah orang masih percaya penyakit mental disebabkan oleh kelemahan rohani atau ilmu hitam. Kita mesti merawat penyakit mental seperti keadaan lain, seperti diabetes atau hipertensi.”