
Ketua Polis Pulau Pinang, Khaw Kok Chin berkata ketika ini, siasatan lanjut terhadap inspektor 37 tahun itu sedang dijalankan.
“Kertas siasatannya telah siap semuanya, serta kita telah rujuk ke Bukit Aman dan ia akan diputuskan kemudian, sama ada terdapat unsur jenayah atau tidak. Tetapi, kami juga membuka kertas siasatan terhadap lelaki tersebut untuk tindakan tatatertib.”
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang mulai esok hingga 13 Feb ini di Plaza Tol Sungai Dua arah selatan, di sini.
Dalam kejadian 7.49 malam 15 Jan lepas, sepasang kekasih terselamat selepas kedua-duanya terjatuh dari KM2.8 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, selepas dipercayai bertengkar.
Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, selepas wanita 40 tahun itu mendakwa ditolak kekasihnya.
Dalam perkembangan lain, Khaw berkata pihaknya tetap meneruskan siasatan terhadap sepasang suami isteri menaiki motosikal secara berbahaya dan mengganggu penunggang motosikal lain di Jambatan Pulau Pinang, dekat sini, meskipun seorang daripadanya dikatakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU).
Katanya ia memandangkan perbuatan mereka tetap menjadi kesalahan dan pihaknya akan merujuk kedua-duanya ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
“Berdasarkan semakan, suspek lelaki dan wanita ini ada tiga rekod jenayah lampau, dan sama ada suspek wanita ada masalah mental, kita akan semak, termasuk juga status (pemegang kad OKU).”
Beliau berkata kedua-duanya direman empat hari dan polis membuka dua kertas siasatan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ditanya status sebenar hubungan kedua-dua suspek, katanya mereka mengaku suami isteri, namun maklumat terbaru lelaki terbabit sudah memeluk Islam, manakala wanita berbangsa Cina itu beragama lain.