
Dalam satu kenyataan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata RM137.035 bilion cukai langsung dikutip tahun lalu adalah dari tahun tersebut, selaras pelaksanaan sistem taksiran tahun semasa yang dikuatkuasakan sejak 2000.
Beliau berkata demikian selepas Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menolak dakwaan Putrajaya yang kutipan cukai tahun lalu disebabkan strategi berkaitan cukai Pakatan Harapan (PH).
Wee berkata, cukai tersebut ialah pendapatan 2017 yang tiada kaitan dengan usaha PH.
Bagaimanapun, Lim memetik sistem taksiran tahun semasa untuk mempertahankan pencapaian kerajaan dalam peningkatan kutipan cukai langsung sebanyak 11.13% tahun lalu.
“Ia bukanlah berdasarkan taksiran ekonomi pada 2017 seperti dakwaan sesetengah pihak, sebaliknya ia mencerminkan pengukuhan dan perkembangan ekonomi dan juga pengenalan tadbir urus kerajaan yang bersih berasaskan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT).”
Beliau berkata, cukai dibayar setiap syarikat pada tahun tertentu, contohnya pada 2018, berdasarkan anggaran cukai perlu dibayar syarikat berkenaan untuk pendapatannya bagi tahun tersebut.
“Anggaran cukai yang kena dibayar bagi 2018 perlu dikemukakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 30 hari sebelum bermulanya tahun tersebut dan ansuran hendaklah dibayar sepanjang 2018 berdasarkan anggaran cukai yang telah dibuat.”
Katanya, cukai ke atas keuntungan daripada harta dan duti setem juga tiada kaitan dengan tahun sebelumnya kerana cukai itu dikenakan pada tahun harta itu dijual, begitu juga dalam kes duti ke atas instrumen dan perjanjian kewangan.
Lim berkata, kenaikan 34% kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk 2018 berbanding jangkaan RM4 bilion adalah usaha Putrajaya untuk memberi kefahaman kepada peniaga melalui program di seluruh negara.
Jadi, katanya, dakwaan kutipan cukai 2018 tidak mencerminkan keadaan ekonomi semasa dan strategi Putrajaya tidak menyumbang kepada kutipan tersebut tidaklah tepat.
“Prestasi kutipan SST yang melebihi jangkaan juga memberikan gambaran perkembangan ekonomi yang telah berlaku pada 2018.
“MOF (Kementerian Kewangan) akan terus telus dan jujur dalam membuat kenyataan berkenaan keadaan ekonomi negara berpandukan fakta dan angka yang tepat.”