
Tinjauan mendapati persekitaran kawasan rumah untuk generasi kedua keluarga peneroka Felda itu dipenuhi semak dan pokok-pokok menjalar. FMT difahamkan 240 unit rumah siap dibina dan hampir 500 unit lagi dalam perancangan.

Seorang penduduk, Shahran Hadar berkata rumah-rumah berkenaan tidak terjaga dan tidak diagihkan sebelum dan selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada pilihan raya lepas. FMT difahamkan penempatan Felda bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan.
“Rumah masih terbengkalai, tidak ada tanda-tanda nak serah kepada pemilik,” kata bendahari jawataankuasa penduduk Felda Sungai Koyan 3 itu.
Shahran memberitahu pemberita anak-anak muda di situ kebanyakannya menolak BN pada pilihan raya lalu, antaranya kerana isu rumah PGBF.
“Rumah sudah siap tapi tidak panggil untuk agihan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Hamid Mat Said memberitahu permohonan sijil layak menduduki (CF) untuk rumah-rumah berkenaan tidak diluluskan. Beliau bimbang kelewatan kerajaan menyerahkan rumah untuk generasi kedua itu akan menyebabkan ia menjadi sarang penagih dadah.
“Kita harap kerajaan agihkan cepat,” katanya.
Alasan hutang negara
Bagi Abdul Majid Deraman pula, dia hairan mengapa kerajaan sekarang masih gagal menyelesaikan isu berkenaan. Beliau berkata mereka tahu akan kelemahan kerajaan dulu dan mengharapkan kerajaan baru lebih baik.
“Dulu masa jadi pembangkang hari-hari mereka canang kerajaan BN gagal menyediakan rumah generasi kedua, tapi sekarang bila menang projek nampak tak berjalan langsung, rumah-rumah yang dah siap tidak diagihkan,” katanya.
“Bila tanya kenapa teruk, alasan diberi hutang negara banyak. Sebelum menang kata hutang negara parah tapi yakin boleh atasi,” tambahnya.
Sebelum ini, kerajaan negeri memaklumkan kos unit-unit rumah yang siap terbina adalah RM25 juta. Menurut penduduk, rumah-rumah berkenaan bermula pada harga RM90,000 tetapi tidak selamat diduduki kerana alasannya mendapan tanah.
Sementara itu, pengerusi sebuah persatuan warga Felda berkata kerajaan sekarang bertanggungjawab menyelesaikan kegagalan kerajaan dulu.
Pengerusi Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan, Roslan Md Isa berkata kelewatan yang akan menyebabkan belanja baikpulih yang lebih banyak.
“Sekarang ini rumah yang sudah siap perlu dibaiki akibat cermin pecah, keretakan dan kerosakan lain,” katanya.
Roslan berkata mereka pernah mendesak satu jawatankuasa siasatan diadakan untuk melihat masalah yang membelenggu projek-projek rumah Felda.
“Sembilan bulan memerintah tapi tidak ada satu tindakan drastik untuk menyelesaikan isu rumah generasi kedua,” katanya.
Menurut Roslan, sejak diumumkan pada 2013, sebanyak 20,000 rumah PGBF dirancang untuk dibina di seluruh negara dalam tempoh 5 tahun, melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion.
Katanya, sehingga kini hanya 11,000 siap.