
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Christina Liew berkata, binaan itu selepas siap mampu menjadi tarikan baharu di Kudat, selain Tip Of Borneo yang juga dikenali Simpang Mengayau.
“Apa saja konflik pada masa lepas boleh diselesaikan secara baik untuk manfaat rakyat Kudat dan ekonominya,” katanya menurut Borneo Post.
Katanya, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Ketua Menteri, Hajiji Noor untuk pertimbangan dan kelulusan.
Perancangan pembinaan Patung Mazu pada 2005 dengan ketinggian 33 meter, yang tertinggi di dunia dibina di atas tanah persendirian menghadap ke laut dengan kos RM5 juta.
Projek itu dimulakan oleh bekas ketua menteri, Chong Kah Kiat yang ketika itu menjadi pengerusi Yayasan Amal Kudat Thean Chou.
Semua kertas kerja untuk projek itu selesai dan asasnya telah dibina apabila perintah berhenti kerja dikeluarkan pada 25 Mei 2006 sementara menunggu kelulusan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Musa Aman.
Perintah berhenti kerja itu dikeluarkan berdasarkan bantahan masyarakat Islam, atas alasan tapak itu terlalu dekat dengan masjid bandar, lebih 700m jauhnya.
Sekitar enam minggu kemudian, mufti negeri dipercayai mengeluarkan fatwa ditujukan kepada Musa, yang secara khusus mengarahkan kerja pembinaan patung itu dihentikan kerana bertentangan ajaran Islam.
Pada 2011, Musa menawarkan tapak baharu untuk projek itu di Pantai Bak Bak.