KPKT pulihkan 20,489 unit rumah swasta

KPKT pulihkan 20,489 unit rumah swasta

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu berkata ia melibatkan 177 projek dengan nilai pembangunan kasar RM14.89 bilion bagi tempoh 1 Jan hingga 30 April lepas.

Menurut Aiman Athirah Sabu, terdapat 205 projek perumahan swasta lewat dan 438 projek perumahan swasta sakit manakala projek perumahan swasta terbengkalai masih kekal dengan 115 projek. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan 20,489 unit perumahan swasta melibatkan 177 projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM14.89 bilion bagi tempoh 1 Jan hingga 30 April lepas.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu, berkata jumlah projek itu merangkumi 163 projek yang berjaya mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan, 11 projek yang berstatus sakit kembali menjadi lancar dan tiga projek terbengkalai.

Bagi tempoh itu juga, beliau berkata pasukan petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) mendapati terdapat 205 projek perumahan swasta lewat dan 438 projek perumahan swasta sakit manakala projek perumahan swasta terbengkalai masih kekal dengan 115 projek.

“Kesemua projek ini membawa nilai GDV sebanyak RM189.67 bilion. Statistik projek perumahan swasta lewat dan sakit adalah dinamik, walau bagaimanapun ia menunjukkan trend yang semakin menurun,” katanya.

Aiman Athirah berkata agenda TFST iaitu memfokuskan kepada projek perumahan swasta terbengkalai tanpa lesen akan diteruskan susulan terdapat 175 projek sedemikian direkodkan di Semenanjung Malaysia setakat 30 April.

“KPKT sedia bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan serta sentiasa komited untuk menangani masalah projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di seluruh negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.