
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata ia meliputi 68 projek lewat, 476 projek sakit dan 111 projek disahkan terbengkalai.
Justeru, beliau berkata TFST mengambil pendirian bahawa kebajikan pembeli yang menjadi mangsa projek perumahan bermasalah perlu dibela dalam tempoh pemaju menyiapkan projek dikategorikan lewat, sakit dan terbengkalai itu.
“TFST boleh mempertimbangkan projek bawah program perumahan kerajaan atau pihak berkuasa negeri seperti projek-projek ini dicadangkan menerima manfaat daripada Dana Jaminan Khas berjumlah RM1 bilion seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024 apabila diluluskan kelak.
“Pasukan petugas ini turut melaksanakan pelbagai ikhtiar melalui sesi libat urus dijalankan dan diharapkan menjadi ruang untuk semua pihak meneliti serta mengenal pasti isu utama yang menjejaskan industri perumahan,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, katanya Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang mengadakan Seminar Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai pada 16 Nov ini bagi mewujudkan jalinan kolaborasi, pendekatan strategik dan perkongsian pengalaman pihak berkepentingan terlibat dalam usaha pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai.
“Melalui seminar ini, pemaju perumahan, pemaju penyelamat serta pelikuidasi berpeluang berkongsi pengalaman, menyampaikan hala tuju baharu serta penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam usaha pemulihan projek terbengkalai.”
Beliau berkata KPKT melalui TFST komited meneruskan agenda nasional dalam membantu pemulihan setiap projek perumahan swasta bermasalah dalam kategori lewat, sakit atau terbengkalai bagi memastikan kepentingan pembeli rumah terpelihara, seterusnya mengurangkan beban rakyat.
Akmal Nasrullah berkata KPKT mencapai kejayaan signifikan dalam pemulihan projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai, apabila 301 projek sakit dan terbengkalai merangkumi 38,752 rumah dengan GDV RM28.88 bilion berjaya dipulihkan setakat 30 Sept lepas.
Katanya ia meliputi 293 projek dengan 37,392 rumah daripada kategori sakit, manakala lapan projek dengan 1,360 rumah dalam kategori terbengkalai.
Beliau berkata terdapat tiga projek lewat dan sakit bawah program Residensi Wilayah setakat ini, iaitu Residensi Wilayah Hijauan Pantai, Residensi Salak Selatan dan Residensi Hektar Gombak.
Terdahulu, beliau memantau projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai melalui sesi lawatan kerja ke tapak Residensi Wilayah Hijauan Pantai di Pantai Dalam dan Residensi Salak Selatan di Salak Selatan.