Waspada, kes denggi di Pulau Pinang naik hampir 200%

Waspada, kes denggi di Pulau Pinang naik hampir 200%

Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mencatatkan 2 kematian bagi 506 kes bagi 2 minggu pertama tahun ini.

Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengenal pasti 5 kawasan panas denggi di timur laut dan tengah Seberang Perai.
GEORGE TOWN:
Jabatan Kesihatan Pulau Pinang berkata, kes denggi di negeri itu meningkat hampir 200% bagi 2 minggu pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata, ia merekodkan 2 kematian dalam 506 kes, berbanding 177 kes tanpa sebarang kematian pada tempoh sama tahun lalu.

Katanya, jabatan itu turut mengenal pasti 5 kawasan panas denggi di timur laut dan tengah Seberang Perai.

Di kawasan timur laut, kes denggi dilaporkan di Mutiara Idaman, Jelutong dan Jalan Bagan Jermal, tidak jauh dari Persiaran Gurney.

Di Pulau Pinang, kes denggi dilaporkan di Zon E Taman Machang Bubok dan Taman Desa Damai, dari Lorong Nangka 2 ke Lorong Nangka 12.

Zon E Taman Machang Bubok mencatat jumlah kes tertinggi, iaitu 26 kes, diikuti Taman Desa Damai (24 kes) dan Mutiara Idaman (14 kes).

Juga terdapat 65 kawasan lain di seluruh negeri ini yang mencatat peningkatan kes denggi.

Empat daripadanya diklasifikasikan “wabak di luar kawalan”. Kawasan terbabit ialah Taman Pauh, Taman Permata Indah, Kuarters Kastam Perai dan Apartmen Permata Zon C, semuanya di tanah besar.

Jabatan Kesihatan menasihatkan mereka yang demam dan mempunyai simptom lain seperti sakit otot atau sendi, muntah, ruam dan kurang selera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

Penduduk pula digesa membersihkan kawasan sekitar rumah yang mungkin menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan ubat menghapuskan larva boleh diperolehi dari klinik kerajaan.

Orang awam juga tidak digalakkan menjalankan kegiatan luar dan mereka yang perlu keluar dinasihatkan menyapu ubat penghalau nyamuk serta berbaju longgar yang menutup seluruh badan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.