Pakar nafi bahan lucah punca sumbang mahram 2 beradik

Pakar nafi bahan lucah punca sumbang mahram 2 beradik

Ia ada kaitan dengan kurangnya pendidikan seks, keciciran sekolah dan keadaan sosio-ekonomi keluarga.

Terdedah kepada bahan lucah bukanlah faktor tunggal yang mendorong kepada sumbang mahram. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kes sumbang mahram 2 beradik di Perak sehingga kakaknya melahirkan anak bukan hanya berpunca daripada pendedahan kepada bahan lucah atas talian, kata aktivis kanak-kanak dan pakar kesihatan.

Mereka merujuk pandangan Adun Malim Nawar Leong Cheok Keng bahawa remaja berusia 14 tahun yang mengadakan hubungan seks dengan kakaknya berumur 16 tahun akibat terdedah kepada bahan lucah di telefon bimbit dan media sosial.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia, Syirin Junisya Mohd Ali berkata, situasi tersebut adalah “contoh utama” perlunya mengubah cara remaja melihat seks dan menangani fantasi.

“Hakikatnya mereka begitu terdedah kepada bahan lucah menunjukkan tidak ada tempat yang boleh dipercayai dan bersifat peribadi di mana mereka terima panduan mengenai situasi yang mereka alami dengan selamat,” katanya kepada FMT.

Beliau menggesa kerajaan mengadakan silibus lebih baik untuk pendidikan seks, mengatakan ia mengambil masa bertahun-tahun “membuang perasaan malu” daripada mengajar anak muda cara menangani isu seks dan kesihatan reproduksi.

Beliau mengalu-alukan kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hanna Yeoh bahawa kementeriannya mencari jalan untuk menjayakan inisiatif ini.

“Tetapi ia tidak patut tumpu kepada cara menangani sahaja.

“Ini harus menjadi gambaran yang lebih komprehensif mengenai isu yang mencerminkan Panduan Teknikal Antarabangsa mengenai Pendidikan Seksualiti yang disemak baru-baru ini,” katanya.

Dr John Teo, pakar kehamilan remaja dan pengamal perubatan yang berpusat di Luyang, Sabah berkata, melihat gambar atau video lucah boleh dikaitkan dengan risiko melakukan seks seperti sumbang mahram, tetapi itu bukanlah faktor tunggal.

“Untuk menganggap bahan lucah sebagai satu-satunya penyebab adalah mengaburkan masalah yang ketara,” katanya, memetik kekurangan pendidikan seks yang komprehensif, kanak-kanak keciciran sekolah dan tahap sosioekonomi yang rendah.

Menurut Teo, kajian perubatan menunjukkan tekanan rakan-rakan dan pengambilan arak didapati antara sebab remaja terlibat dengan pelakuan seks.

Katanya, menyokong mereka yang tercicir dari sekolah dengan latihan vokasional dan membantu keluarga memberi perhatian kepada anak-anak dapat mengurangkan kes sumbang mahram, bukan menyekat pendedahan mereka kepada bahan-bahan atas talian.

Penasihat hak asasi kanak-kanak, Madeleine Yong memberitahu FMT sumbang mahram mungkin mencerminkan “gangguan” dalam cara ahli keluarga berinteraksi antara satu sama lain di rumah. Bagaimanapun, beliau juga menolak idea bahan lucah dipersalahkan.

Beliau juga menyentuh tentang pentingnya melindungi remaja lelaki daripada dirogol, sambil mempersoalkan jika pihak berkuasa mengenal pasti sama ada remaja lelaki itu yang merogol kakaknya atau sebaliknya.

Remaja itu, yang namanya tidak didedahkan kerana dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak, mengaku bersalah melakukan sumbang mahram dengan kakaknya di mahkamah Isnin lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan sebatan bagi orang dewasa.

Leong berkata semalam, seorang peguam akan disediakan untuk mewakili remaja tersebut bagi membuat rayuan dalam usaha mendapatkan hukuman lebih ringan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.