Guru didakwa 3 tuduhan miliki bahan lucah kanak-kanak

Guru didakwa 3 tuduhan miliki bahan lucah kanak-kanak

Rosli Sulaiman, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

mahkamah temerloh
Tertuduh, Rosli Sulaiman, 47, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Temerloh atas tiga pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini atas tiga pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak.

Tertuduh, Rosli Sulaiman, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Jamaludin Mat, menurut Berita Harian.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki bahan lucah itu dalam telefon bimbit miliknya.

Kesalahan didakwa dilakukan kira-kira 6 petang, 18 Jun lalu di IPD Temerloh.

Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga pula, dia didakwa memiliki bahan lucah itu dalam telefon bimbit serta komputer riba milik beliau.

Kesalahan dilakukan itu kira-kira 4:45 petang, 19 Jun lalu, di sebuah rumah di Kampung Berhala Gantang.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 10, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 30 Julai untuk sebutan semula kes.

Hakim turut menetapkan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh menganggu saksi dan melapor diri di balai polis berdekatan kediamannya sebulan sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.