‘CEO Batu’ minta bicara dakwaan simpan bahan lucah

‘CEO Batu’ minta bicara dakwaan simpan bahan lucah

Iqbal Muhammad dituduh simpan video dan gambar lucah dalam telefon bimbit.

Pempengaruh media sosial Iqbal Muhammad didakwa di Mahkamah Majistret Selayang.
KUALA LUMPUR:
Pempengaruh media sosial ‘CEO Batu’ yang semalam dituduh melakukan amang seksual bukan fizikal ke atas remaja perempuan bawah umur, hari ini berdepan pula dakwaan menyimpan bahan lucah.

Iqbal Muhammad, 22, minta dibicarakan di Mahkamah Majistret Selayang.

Dia tiba di mahkamah pagi tadi ditemani beberapa ahli keluarga dan dilihat memberikan isyarat ibu jari kepada media ketika memasuki kamar mahkamah.

Iqbal dituduh menyimpan bahan video dan gambar lucah dalam telefon bimbit ketika pemeriksaan di IPD Gombak, sekitar 11.30 pagi pada 22 Mei.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Chai Guan Hock menetapkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Birr Zamier Abu Bakar mencadangkan ikat jamin ditetapkan RM6,000.

Namun, peguam Iqbal, Nabil Ashraff Ridzuan mohon jumlah itu dikurangkan separuh, sambil menyatakan anak guamnya berdepan kekangan kewangan.

“Pendapatan Iqbal sebagai pempengaruh media sosial turut terjejas kerana kes ini menyebabkan banyak kontraknya ditamatkan,” katanya.

Nabil berkata, Iqbal juga membantu menyara adik lelaki yang mengalami kesukaran bernafas, selain datuknya berusia 74 tahun yang memerlukan pemeriksaan berkala di Institut Jantung Negara (IJN).

Mahkamah menetapkan 30 Sept ini bagi sebutan semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.