Lelaki didakwa 52 tuduhan sumbang mahram, amang seksual fizikal anak kandung

Lelaki didakwa 52 tuduhan sumbang mahram, amang seksual fizikal anak kandung

Tertuduh juga mengaku tak bersalah atas tuduhan merakam gambar bogel mangsa yang ketika itu berusia 17 tahun 11 bulan.

mahkamah melaka
Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas 52 tuduhan sumbang mahram, amang seksual fizikal dan merakam gambar bogel anak kandungnya sendiri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang bapa enam anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka atas 52 pertuduhan sumbang mahram, amang seksual fizikal dan merakam gambar bogel anak kandungnya, sejak Mei lalu.

Tertuduh yang berusia 41 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas semua tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Haderiah Siri, lapor Kosmo.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa atas 17 tuduhan sumbang mahram terhadap anak kandungnya yang berusia 18 tahun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa atas 34 tuduhan melakukan amang seksual fizikal dan didakwa mengikut Seksyen 14(b) dan 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017) dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat bagi Seksyen 14(b) dan 14(a) AKSTK 2017, manakala penjara tidak melebihi lima tahun dan hendaklah dikenakan sebat tidak kurang daripada dua sebatan bagi Seksyen 16(1) AKSTK 2017.

Tertuduh juga didakwa atas satu tuduhan di bawah Seksyen 7 AKSTK 2017 atas kesalahan membuat pornografi kanak-kanak dengan merakam dua keping gambar mangsa yang ketika itu berusia 17 tahun 11 bulan dalam keadaan tidak berpakaian di bilik air.

Bagi tuduhan tersebut, tertuduh yang bekerja sebagai tukang baiki mesin basuh dan peti ais itu berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat tidak kurang daripada lima sebatan.

Semua 52 pertuduhan itu dilakukan tertuduh antara pukul 6.50 pagi sehingga 7.15 pagi pada 12 Mei sehingga 2 Ogos di sebuah rumah di Melaka Tengah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ehsan mencadangkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM20,000 bagi setiap tuduhan tetapi tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan hanya mempunyai simpanan sebanyak RM8,000.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM90,000 untuk semua tuduhan dengan beberapa syarat tambahan termasuk tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Hakim juga menetap tarikh 18 Sept depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.