Kru Malindo ditahan seludup dadah hampir RM3 juta ke Australia

Kru Malindo ditahan seludup dadah hampir RM3 juta ke Australia

Polis Persekutuan Australia berkata, dadah itu disembunyikan di badan kru kabin Malindo Air untuk diseludup melalui Melbourne dan Sydney.

Pasukan penguatkuasaan mendakwa sindiket dadah berpakat dengan kru Malindo Air untuk menyeludup heroin, kokain dan methamphetamine ke Australia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua kru kabin Malindo Air antara 8 suspek ditahan Polis Persekutuan Australia (AFP) sejak 10 hari lalu atas dakwaan menyeludup dadah dianggarkan berjumlah RM2.95 juta ke negara itu.

Komander Tess Walsh daripada polis Victoria yang dipetik ABC News berkata, penahanan itu sebahagian Operasi “Sunrise” oleh AFP, Pasukan Sempadan Australia dan Suruhanjaya Risikan Jenayah Australia.

Pasukan penguatkuasaan itu mendakwa sindiket dadah berpakat dengan kru syarikat penerbangan tambang murah yang berpangkalan di Malaysia itu untuk menyeludup heroin, kokain dan methamphetamine ke Australia.

Penyiasat berkata, dadah itu disembunyikan di badan kru kabin untuk diseludup melalui Melbourne dan Sydney.

Walsh berkata, polis yakin kumpulan itu sudah menyeludup dadah sekurang-kurangnya 5 tahun dan dadah dirampas itu “bukan jumlah keseluruhan” yang didakwa dibawa masuk ke Australia.

Dua daripada 8 suspek ditahan itu ialah wanita.

Pasukan bersama itu menahan seorang wanita berusia 38 tahun di Tullamarine pada 7 Januari lalu, disusuli 6 lagi ditahan dalam beberapa serbuan di utara Sunshine dan tengah bandar Melbourne keesokannya.

Wanita ke-2 yang berasal dari Richmond, ditahan pada 14 Januari lalu.

Selain dadah, polis turut menyifatkan beberapa kereta mewah dan wang tunai sebanyak A$100,000 daripada penyeludup disyaki itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.