Industri kurier digesa kerjasama dengan pihak berkuasa perangi salah guna perkhidmatan

Industri kurier digesa kerjasama dengan pihak berkuasa perangi salah guna perkhidmatan

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata keselamatan industri terus menjadi keutamaan susulan beberapa kes salah guna khidmat kurier untuk seludup dadah.

FAHMI FADZIL
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil industri kurier kini nadi utama ekonomi digital negara yang bernilai RM6.8 bilion setahun.
SHAH ALAM:
Industri kurier perlu memperkukuh kerjasama dengan polis dan kastam bagi menangani salah guna perkhidmatan penghantaran untuk kegiatan jenayah, termasuk penyeludupan dadah, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Katanya, keselamatan industri itu terus menjadi keutamaan susulan beberapa kes penyalahgunaan perkhidmatan kurier untuk menyeludup dadah jutaan ringgit sejak setahun lalu.

Beliau memetik kejayaan Jabatan Kastam Sarawak merampas lebih 42kg pil ecstasy lebih RM7 juta Julai lalu, selepas polis menumpaskan sindiket terbesar di Sarawak dengan rampasan RM8.53 juta Jun lalu, yang dikatakan menggunakan bungkusan kurier dari Semenanjung.

Menurutnya, kastam turut merekodkan rampasan terbesar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tahun lalu melibatkan 81kg syabu bernilai RM2.6 juta yang cuba diseludup ke Sabah menggunakan deklarasi palsu.

“Kita perlu akui industri kurier tidak terlepas daripada penyalahgunaan,” katanya ketika merasmikan Hari Kurier Negara 2025 bertemakan ‘Merakyatkan Penghantaran, Menghubungkan Negara’.

“Oleh itu, industri kurier perlu bekerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan seperti polis dan kastam bagi memastikan keselamatan perkhidmatan, integriti penghantaran dan kepatuhan kepada undang-undang sentiasa terjamin.”

Fahmi berkata, sektor kurier kini nadi utama ekonomi digital negara yang bernilai RM6.8 bilion setahun, dengan lebih 120,000 pekerja menyokong pertumbuhan e-dagang dan logistik negara.

“Industri ini bukan lagi penghantaran bungkusan semata-mata, ia menghubungkan jutaan pengguna dan perniagaan.”

Beliau mengakui tekanan dihadapi pemain tempatan akibat dominasi lebih 90% penghantaran domestik oleh syarikat antarabangsa, namun menegaskan langkah kerajaan melalui Rangka Kerja Perkongsian Rangkaian Kurier (CNSF) akan membantu memastikan persaingan lebih adil.

“Kerangka ini yang pertama di Asean dan berpaksikan perkongsian kapasiti, data dan operasi untuk memperkasa syarikat tempatan.”

Pada majlis sama, Fahmi melancarkan Kod Amalan Perkhidmatan Pos (CPPS) – dokumen pertama industri itu yang menjadi piawaian operasi industri kurier negara.

Beliau berkata, CPPS yang dibangunkan Postal Forum diluluskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tahun lalu selepas konsultasi menyeluruh, akan memastikan kualiti perkhidmatan, keselamatan pekerja dan perlindungan pengguna, khususnya golongan rentan terus terjamin.

“Saya menyeru semua penyedia perkhidmatan yang belum melaksanakan CPPS segera memasukkan kod ini dalam SOP. Ini penting untuk memperkukuh industri dan meningkatkan perlindungan serta keyakinan pengguna.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.