Selepas MyPPP dibatalkan, Kayveas mahu merayu pada KDN

Selepas MyPPP dibatalkan, Kayveas mahu merayu pada KDN

Kayveas berkata, pihaknya mempunyai tempoh 30 hari untuk merayu.

CAMERON HIGHLANDS: Tan Sri M Kayveas berkata beliau akan bertemu Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat rayuan selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran parti itu.

“Kita terima satu surat daripada JPPM yang disebarkan dalam sosial media. Walaupun saya belum terima ‘hard copy’ tapi ada terima email notis pendaftaran MyPPP dibatal.

“Mengikut akta pendaftar pertubuhan kita ada 30 hari masa buat rayuan kepada menteri dan menteri boleh buat keputusan. Menteri boleh kata buat pindaan kepada keputusan JPPM,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MyPPP Cameron Highlands.

Katanya, jika keputusan menteri itu masih tidak memihak kepadanya, beliau akan membawa kes ini ke mahkamah.

“Kita harap menteri buat keputusan yang adil. Jika keputusan menteri juga tidak memihak kepada kita, kita ada 90 hari untuk bawa isu itu ke mahkamah,” katanya.

JPPM membatalkan pendaftaran MyPPP, bekas komponen Barisan Nasional (BN) yang dilanda perpecahan dalaman sejak tahun lepas.

Ketua Pengarah JPPM, Masyati Abang Ibrahim memaklumkan keputusan itu melalui surat kepada Kayveas dan Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz yang berebut jawatan presiden parti.

D’Cruz dikatakan mendalangi langkah menyingkir Kayveas sebagai presiden tahun lepas, keputusan yang disokong sebulat suara di mesyuarat agung tahunan MyPPP ke-64 yang diadakan beberapa hari selepas pilihan raya umum.

Kayveas bertegas dia masih presiden yang sah, dan baru-baru ini menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Masyati dalam kenyataan berkata pendaftaran MyPPP dibatalkan selepas mendapati rayuan daripada parti itu tidak mempunyai “sebab-sebab yang cukup”.

“Maka oleh itu, diperintahkan pendaftaran pertubuhan yang namanya tersebut dibatalkan mulai dari tarikh perintah ini,” katanya.

Kayveas mendakwa keputusan JPPM itu menyusuli desakan kumpulan pro D’Cruz yang mahu beliau disingkirkan kerana mahu bawa MyPPP keluar BN.

Katanya, usaha D’Cruz didakwa mahu mengulingkanya turut disokong rakan komponen BN yang lain.

“Ini hukuman saya sebab saya nak keluar BN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.