MyPPP tepis dakwaan ‘kepulangan’ tak beri kesan kepada BN

MyPPP tepis dakwaan ‘kepulangan’ tak beri kesan kepada BN

Presiden baharu MyPPP berkata ia boleh menjadi pilihan untuk pengundi atas pagar yang berbilang kaum.

Presiden baharu MyPPP, J Loga Bala Mohan, berkata setiap bangsa ada orang yang tidak setuju dengan parti-parti berasaskan kaum. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti Progresif Penduduk (MyPPP) menepis dakwaan ia tidak akan beri kesan kepada Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRU16 lantaran tiada pengaruh.

“Itu pendapat mereka sahaja,” kata presiden baharu parti itu, J Loga Bala Mohan kepada FMT, mengulas pandangan penganalisis politik.

Loga percaya MyPPP sebagai parti berbilang kaum boleh menjadi aset buat BN, untuk menarik sokongan pengundi atas pagar.

“Umno, MIC, MCA ada peranan mereka tapi terhad kepada bangsa tersendiri tapi dalam setiap bangsa ada pula orang yang tidak setuju dengan parti-parti berasaskan kaum.

“Kami boleh menjadi pilihan untuk mereka,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata permohonan MyPPP untuk kembali menjadi parti komponen gabungan itu akan dibincangkan Dewan Tertinggi BN.

Menyusuli perkembangan itu, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia membandingkan keadaan MyPPP dengan MIC dan MCA, dan percaya parti itu tidak akan dapat menyumbang kepada BN.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata kedudukan MyPPP dalam kalangan pengundi berketurunan India adalah lebih kuat berbanding MIC, namun beliau menjangkakan MIC akan menentang permohonan MyPPP.

Pada Mei 2018, M Kayveas yang dipetik sebagai presiden MyPPP ketika itu mengumumkan ia keluar daripada BN selepas bersama gabungan itu sejak 1994.

Pada 14 Jan 2019, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) membatalkan pendaftaran MyPPP, di sebalik krisis kepimpinan apabila terdapat dua kem mendakwa menerajui parti itu – satu diterajui Kayveas dan satu lagi oleh Maglin Dennis D’Cruz.

Setiausaha agung parti ketika itu berkata JPPM sebelum itu meminta MyPPP menerangkan 3 perkara, iaitu pemecatan Kayveas, surat peletakan jawatan Kayveas dan pemegang jawatan majlis tertinggi parti.

Pada 11 April 2023, Kementerian Dalam Negeri meluluskan rayuan MyPPP terhadap pembatalan pendaftaran, dan mengesahkan keabsahan senarai ahli majlis tertinggi MyPPP di bawah kepimpinan Maglin – yang dipilih sebagai presiden semasa perhimpunan agung tahunan pada 19 Mac tahun sama.

Maglin bagaimanapun meninggal dunia pada November tahun sama, dan sejak itu jawatan presiden dipangku Loga. Loga dilantik sebagai presiden dalam mesyuarat agung MyPPP semalam.

Loga menegaskan MyPPP sentiasa bersama BN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.