MyPPP tiada pengaruh, ‘kepulangan’ tak beri kesan kepada BN

MyPPP tiada pengaruh, ‘kepulangan’ tak beri kesan kepada BN

Bagaimanapun penganalisis berkata jika BN menerima semula MyPPP maka parti itu boleh menyumbang ke arah pertambahan ahli gabungan.

Parti Progresif Rakyat keluar Barisan Nasional pada Mei 2018. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyertaan Parti Progresif Rakyat (MyPPP) dilihat tidak akan memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRU16 kerana ia tiada pengaruh terhadap pengundi India, kata penganalisis.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagaimanapun berkata, jika BN tetap mahu menerima MyPPP maka parti itu boleh menyumbang ke arah pertambahan ahli gabungan.

Lau Zhe Wei.

“MIC dan MCA tidak banyak menyumbang kepada BN, perkara sama juga akan berlaku daripada MyPPP, malah lagi teruk…lagi tak dapat sumbang,” katanya kepada FMT.

Semalam, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata pihaknya akan meneliti permohonan MyPPP untuk kembali menjadi parti komponen gabungan itu.

Zahid berkata, rayuan MyPPP yang keluar BN pada Mei 2018 selepas komponen terbabit hilang kuasa dalam PRU14 akan dibincangkan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, termasuk meneliti keputusan mahkamah berhubung keabsahan parti itu yang dipertikai susulan pertikaian pimpinan.

Pada 14 Jan 2019, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) melucutkan pendaftaran MyPPP selepas pergolakan kepimpinan antara Maglin Dennis D’Cruz dan M Kayveas.

Krisis berlarutan selama lima tahun berakhir 11 April tahun lalu selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan rayuan MyPPP terhadap pelucutan pendaftaran dan mengesahkan keabsahan Majlis Tertinggi MyPPP diadakan pada 19 Mac 2023 yang memilih Maglin sebagai presiden.

Maglin bagaimanapun meninggal dunia pada November tahun lalu dan sejak itu jawatan presiden dipangku J Loga Bala Mohan.

MyPPP antara parti politik tertua negara ditubuhkan pada 1953 kini mempunyai keahlian sekitar 320,000 orang di 119 bahagian, dan 3,119 cawangan seluruh negara.

Azmi Hassan.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berbeza pendapat apabila menjangkakan kedudukan ‘MIC dalam bahaya’ susulan permohonan MyPPP yang dilihat mampu mengukuhkan undi masyarakat India terhadap gabungan tersebut.

Beliau berkata, MyPPP mempunyai struktur bahagian dan cawangan lebih kukuh berbanding MIC dan ia mampu memberi kesan positif buat BN.

“Walaupun konsensus BN diperlukan, saya pasti MIC akan menentang dan akan diperoleh keputusan sebulat suara menerima MyPPP kerana antara MIC dan MyPPP, MyPPP mempunyai kedudukan lebih kuat daripada pengundi berbangsa India.

“Saya lihat dengan kembalinya mereka (MyPPP) boleh mengukuhkan BN dalam kalangan pengundi India,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.