
Zahid berkata rayuan parti itu yang keluar BN pada Mei 2018 selepas komponen terbabit hilang kuasa pada PRU14 akan dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
“Perlembagaan BN putuskan sebarang keputusan perlu dibuat sebulat suara,” katanya ditemui media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan MyPPP hari ini.
Menurut Zahid, dalam proses rayuan itu BN akan meneliti keputusan mahkamah berhubung keabsahan MyPPP yang dipertikai susulan pertikaian pimpinan.
“Mereka akhirnya dapat keputusan mahkamah berkenaan keabsahan parti, dari segi perundangan (sudah) tidak boleh dipertikaikan lagi…(jadi) kita akan bawa rayuan kepimpinan (MyPPP kepada Dewan Tertinggi BN),” katanya.
Pada 14 Jan 2019, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) melucutkan pendaftaran MyPPP selepas pergolakan kepimpinan di antara Maglin Dennis D’Cruz dan M Kayveas.
Krisis berlarutan selama lima tahun berakhir 11 April tahun lalu selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan rayuan MyPPP terhadap pengelucutan pendaftaran dan mengesahkan keabsahan Majlis Tertinggi MyPPP diadakan pada 19 Mac 2023 yang memilih Maglin sebagai presiden.
Maglin bagaimanapun meninggal dunia November tahun lalu dan jawatan presiden dipangku J Loga Bala Mohan sejak itu.
MyPPP merupakan antara parti politik tertua negara ditubuhkan pada 1953 kini mempunyai keahlian sekitar 320,000 orang di 119 bahagian, dan 3,119 cawangan seluruh negara.
Jun lalu, Zahid dipetik berkata MyPPP bukan komponen BN sebaliknya berstatus Friends of BN.