KPN: Tiada pihak tampil beri maklumat kedudukan bekas suami Indira Gandhi

KPN: Tiada pihak tampil beri maklumat kedudukan bekas suami Indira Gandhi

Polis memohon kepada orang awam untuk memberikan maklumat tetang kedudukan bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah dan anaknya.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata, polis mneruskan pencarian Muhammad Ridhuan seperti diperintahkan oleh mahkamah.
PUTRAJAYA:
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sehingga hari ini tidak ada mana-mana pihak yang tampil memberikan maklumat tentang kedudukan bekas suami M Indira Gandhi yang belum menyerahkan hak penjagaan anak bongsu mereka kepada wanita itu seperti diarahkan oleh mahkamah.

Beliau berkata, pihak polis masih lagi belum menerima apa-apa maklum balas mengenai perkara tersebut.

Fuzi berkata, sebelum ini pihak polis juga memohon kepada orang awam untuk memberikan maklumat tetang kedudukan bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah dan anaknya.

“Perkara ini sedang berjalan dan kita perlu teruskan (pencarian) kerana arahan mahkamah telah diberikan kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas acara Majlis Amanat Tahun Baru 2019 di sini, hari ini.

Akhir tahun lalu, Indira berkata, beliau berharap untuk bertemu semula dengan anak bongsunya, Prasna Diksa apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Indira dilaporkan berkata, beliau kecewa dengan sikap tidak peduli pihak berkuasa untuk mendapatkan kembali anak bongsunya itu.

Fuzi berkata, pihak polis juga melakukan yang terbaik bagi mengesan kedudukan Muhammad Riduan dan anak itu.

Pada April 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan pihak polis menahan Riduan kerana melarikan Prasana daripada jagaan penjaganya yang sah.

Bagaimanapun ketua polis ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya tidak dapat memenuhi arahan itu kerana wujud percanggahan antara keputusan Mahkamah Sivil dengan Mahkamah Syariah.

Mahkamah Persekutuan pada Jan 2018 memutuskan penukaran agama 3 anak Indira Gandhi 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel 5 hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama 3 anaknya, iaitu Tevin Darsiny, 21, Karan Dinish, 20 dan Prasana Diksa 9, kepada Islam.

Mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Ketiga-tiga kanak-kanak itu ditukarkan agama kepada Islam oleh bapa mereka Muhammad Ridhuan Abdullah, 48, pada April 2009 tanpa keizinan Indira selepas beliau memeluk Islam.

Bagaimanapun, anak bongsu beliau Prasana Diksa, dilarikan ayahnya sejak 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.