Larangan merokok: Denda RM500 bagi pesalah kali pertama

Larangan merokok: Denda RM500 bagi pesalah kali pertama

Timbalan menteri kesihatan berkata, pesalah yang tidak membayar saman itu dalam 2 minggu atau mengulangi kesalahan sama akan didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun.

Lee Boon Chye berkata, saman itu akan dikeluarkan kepada perokok ingkar, selepas pendekatan memberi amaran secara lisan selama 6 bulan pertama berakhir. (Gambar Bernama)
CAMERON HIGHLANDS:
Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan saman RM500 kepada pelanggan yang melakukan kesalahan pertama dengan merokok di premis makanan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata saman itu akan dikeluarkan kepada perokok ingkar, selepas pendekatan memberi amaran secara lisan terlebih dahulu kepada golongan itu berakhir.

“Bagi kesalahan kali pertama, perokok akan dikenakan saman oleh penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah di kawasan terbabit dan perlu membayar saman itu dalam tempoh 2 minggu.

“Sekiranya saman itu tidak dijelaskan dalam tempoh tersebut atau perokok yang didapati mengulangi kesalahan sama, mereka akan dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, semalam.

Pada 6 November lalu, Lee berkata, pihaknya menggunakan pendekatan memberi amaran terlebih dahulu kepada perokok dalam 6 bulan pertama selepas larangan merokok di semua premis makanan dikuatkuasakan 1 Januari lalu.

Sementara itu, Lee berkata, pihaknya kesal dengan insiden seorang pelayan restoran ditampar pelanggan hanya kerana menegur sekumpulan lelaki merokok di dalam sebuah restoran di Shah Alam, Selangor, Selasa lalu.

Beliau menyifatkan tindakan pelanggan menampar pelayan restoran berusia 25 tahun itu sebagai tidak bertamadun hanya kerana ditegur tidak merokok di kawasan larangan.

“Kami serahkan (kes itu) kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan tindakan lanjut terhadap individu tersebut kerana perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku.”

Dalam perkembangan lain, Lee berkata, air paip yang diproses menerusi loji rawatan air Cameron Highlands selamat digunakan kerana pemeriksaan berkala Bahagian Kejuruteraan Kementerian Kesihatan mendapati ia mematuhi standard kesihatan ditetapkan.

“Ada penduduk di sini yang mengadu air di sini keruh, namun air itu keruh disebabkan rangkaian pengedaran saluran paip air yang tidak dijamin kebersihannya dan bukan dari loji rawatan air.

“Pensampelan rutin unit kawalan kualiti air minum mendapati tiada pelanggaran racun perosak dicatatkan di rangkaian air awam selama 5 tahun di Cameron Highlands sejak 2014,” katanya sambil menambah air paip perlu dimasak terlebih dahulu, sebelum selamat diminum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.