
Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata tumpuan harus diberikan kepada meningkatkan penguatkuasaan bagi melindungi orang ramai daripada asap rokok.
“Restoran khas untuk perokok tidak akan berkesan. Objektif utamanya sepatutnya adalah mengurangkan tabiat merokok,” katanya kepada FMT sambil menambah, pencegahan akan berkesan melindungi golongan bukan perokok daripada asap rokok.
Menurut Lee, walaupun larangan merokok kelihatan seperti idea yang bagus pada 2019, keberkesanannya berkurangan selepas perintah kawalan pergerakan dilaksanakan, mencadangkan penguatkuasaan semakin longgar.
Larangan merokok di semua restoran, kedai kopi dan gerai penjaja di seluruh negara berkuat kuasa pada 1 Jan 2019, berikutan pindaan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Lee turut menegaskan, kebanyakan negara yang menguatkuasakan larangan merokok sama ada melarang sepenuhnya atau menyediakan kawasan kecil dikhaskan untuk perokok.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Jawahar Ali Taib Khan turut menolak idea kedai makan khas untuk perokok kerana menurutnya ia tidak praktikal, berdasarkan pengalaman terdahulu.
“Ia konsep yang cacat. Malah pada masa lalu, seperti di lapangan terbang yang mempunyai bilik merokok khas, kita perhatikan orang ramai masih merokok di mana-mana,” katanya.
Jawahar berkata, isunya ialah sikap perokok, bukan penguatkuasaan.
“Walaupun pegawai penguat kuasa Kementerian Kesihatan (KKM) hadir, mereka sering tidak dihormati,” katanya.
Beliau juga mencadangkan KKM mengkaji semula klausa yang membebankan pemilik restoran secara tidak adil, menyebabkan mereka boleh didenda atau dipenjarakan jika pelanggan ditangkap merokok di premis mereka.
Jawahar berkata, pemilik dan pekerja restoran tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan larangan merokok secara berkesan dan usaha sedemikian tidak diterima dengan baik oleh pelanggan.
“Sedangkan pegawai KKM berdepan respons keras daripada perokok, bayangkan pemilik restoran dan kakitangan kami, yang tiada kuasa untuk menguatkuasakan peraturan ini,” katanya.
Pada Isnin, Ahli Parlimen Tumpat Mumtaz Nawi menggesa kerajaan mempertimbangkan mengklasifikasikan restoran berasingan untuk perokok dan bukan perokok.
Dengan berbuat demikian, katanya, orang ramai terutama kanak-kanak dan ibu mengandung akan lebih terlindung daripada asap rokok.