Peguam dapat kebenaran cabar larangan merokok di pejabat swasta

Peguam dapat kebenaran cabar larangan merokok di pejabat swasta

Haniff Khatri Abdulla turut mendapat perintah interim ex-parte yang membenarkannya terus merokok di pejabatnya.

TOWNHALL RAKYAT
Peguam Haniff Khatri Abdulla berpendapat larangan merokok di pejabat swasta tidak berperlembagaan.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepada peguam Haniff Khatri Abdulla untuk mencabar larangan merokok di pejabat swasta yang berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Haniff dalam kenyataan berkata, Hakim Amarjeet Singh memerintahkan permohonan semakan kehakimannya didengar inter parte (dua belah pihak) dan menetapkan pengurusan kes pada 6 Feb ini.

Haniff turut mendapat penangguhan larangan itu sementara menunggu pendengaran permohonannya untuk menghalang Kementerian Kesihatan menguatkuasakannya di pejabat guamannya di Kota Damansara, sementara prosiding semakan kehakiman berlangsung.

Perintah penangguhan itu sah sehingga 27 Feb ini, apabila permohonan kebenaran itu didengar berdasarkan meritnya.

Peguam Persekutuan, Sallehuddin Ali mewakili Jabatan Peguam Negara.

Pada 31 Dis lalu, Haniff memfailkan permohonan untuk memulakan semakan kehakiman terhadap menteri kesihatan dan kerajaan bagi mencabar larangan merokok di pejabat swasta.

Beliau berpendapat larangan merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 tidak berperlembagaan dan mahu Mahkamah Tinggi membatalkan arahan itu.

Beliau juga mahu mahkamah mengarahkan Putrajaya mengecualikan firma guamannya di Kota Damansara daripada larangan itu kerana dirinya perokok tegar. Haniff berkata, pejabatnya sudah lama memaklumkan pekerja dan anak guam berhubung tabiat merokoknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.