
Kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 baru-baru ini mendedahkan hampir 80% responden yang disoal selidik menyatakan telah mendapat pendedahan asap rokok melalui premis makanan dan restoran, dengan hampir 30% di bangunan kerajaan, pengangkutan awam (19%), dan kemudahan kesihatan (18.6%).
Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata bagi memperkasa penguatkuasaan larangan merokok, kerajaan perlu mewujudkan perjawatan khas Pegawai Kesihatan Persekitaran/Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP/PKP) di bawah pasukan berkenaan.
“Ketika ini terdapat 5,000 perjawatan PPKP/PKP di bawah Kementerian Kesihatan, dan jumlah itu tidak mampu memantau sepenuhnya kawasan larangan merokok kerana mereka turut dibebani tugas lain termasuk kawalan penyakit berjangkit dan pemantauan kualiti serta keselamatan makanan.
“Sekiranya kerajaan ingin melihat kejayaan penguatkuasaan ini, maka pewujudan jawatan khas dan penambahan jawatan PPKP/PKP amat diperlukan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Adnan berkata KKM juga perlu memastikan jawatan kontrak PPKP/PKP dapat diserap ke jawatan tetap supaya mereka dapat terus berkhidmat dengan KKM bagi memastikan kejayaan penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam.
“Kita tidak mahu setiap undang-undang yang dilaksanakan hanya sekadar di atas kertas sahaja kerana langkah menguatkuasakan undang-undang tersebut tidak dapat dilakukan hanya disebabkan kekurangan anggota penguatkuasa.
“Akhirnya sudah tentu rakyat tidak mendapat manfaat daripada setiap undang-undang yang dibuat untuk melindungi mereka daripada sesuatu perkara yang membawa kemudaratan,” katanya.