Gagal pastikan restoran bebas perokok, pemilik didenda RM1,000

Gagal pastikan restoran bebas perokok, pemilik didenda RM1,000

Pemilik restoran berusia 52 tahun di Seremban mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca.

Tertuduh berdepan pertuduhan gagal memastikan tiada perokok merokok dalam premisnya, di Taman Permai 3, Seremban.
PETALING JAYA:
Pemilik restoran didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Khas Trafik Seremban selepas mengaku salah gagal memastikan premis sebagai kawasan larangan merokok, tahun lalu.

Tertuduh berusia 52 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah.

Mengikut pertuduhan, dia didapati gagal memastikan tiada perokok merokok dalam premis miliknya, lapor Berita Harian.

Kesalahan itu dilakukan pada 3 Sept 2024 di sebuah premis di Taman Pemai 3, Seremban.

Tertuduh didakwa mengikut sub peraturan 12(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut sub peraturan 12(3) peraturan sama, selain boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

Pendakwa kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, Vivig Dinesh Vigane Swaran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.