KWSP: Tanah di Sungai Buloh dibeli pada nilai pasaran adil

KWSP: Tanah di Sungai Buloh dibeli pada nilai pasaran adil

KWSP berkata, tanah itu dibeli dengan harga RM2.28 bilion kerana lokasinya baik antara Kota Damansara dan Sungai Buloh.

KWSP berkata, ia tidak tahu sebarang aturan selepas pembelian tanah itu antara Lembaga Getah Malaysia dan ATNB seperti dibangkitkan menteri industri utama.
KUALA LUMPUR:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan pembelian tanah di Sungai Buloh oleh anak syarikat milik penuhnya, Kwasa Land Sdn Bhd pada 2012, dilaksanakan secara profesional.

KWSP dalam kenyataan hari ini berkata, pembelian tanah seluas 944.13 hektar (2,330 ekar) daripada Aset Tanah Nasional Berhad (ATNB), jentera tujuan khas (SPV) milik 100% Kementerian Kewangan, dilaksanakan secara saksama bagi membangunkan Kwasa Damansara.

Kwasa Damansara ialah sebuah bandar merangkumi pusat perumahan dan komersial serta infrastruktur dan kemudahan awam.

KWSP berkata, ia mengikut struktur pelaburan ketat yang memerlukannya menjalankan usaha wajar sebelum membuat transaksi.

“Harga pembelian RM2.28 bilion itu berdasarkan nilai pasaran yang adil, berikutan lokasinya baik antara Kota Damansara dan Sungai Buloh.

“KWSP tidak mengetahui sebarang aturan selepas pembelian itu antara Lembaga Getah Malaysia dan ATNB seperti dibangkitkan Menteri Industri Utama, Teresa Kok,” katanya.

Semalam, Kok berkata ATNB pada Oktober 2010 mengambil alih tanah itu daripada Lembaga Getah Malaysia (MRB) pada kos RM1.5 bilion, lebih rendah daripada nilai pasaran.

ATNB menjual tanah itu kepada KWSP dengan harga RM2.28 bilion pada 2012.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.