
Beliau berkata, secara asasnya, struktur baharu itu akan terbahagi kepada dua komponen, iaitu simpanan fleksibel dengan pengeluaran boleh dilakukan bila-bila masa mengikut kehendak ahli.
Komponen kedua adalah simpanan pendapatan, iaitu jumlah simpanan ahli akan diagihkan secara berkala atau bulanan sehingga habis.
“Ia akan terpakai kepada ahli baharu mendaftar selepas tarikh pelaksanaan saja. Namun, pada masa akan datang, jika kita telah laksanakan, ahli sedia ada ingin menyertai cadangan itu juga boleh dilakukan.
“Bagaimanapun, cadangan ini sedang diteliti dan sebarang keputusan akan dibuat selepas sesi libat urus menyeluruh dengan pihak berkepentingan dan pertimbangan sewajarnya terhadap kepentingan jangka panjang ahli,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah (PH-Tebrau) mengenai langkah kerajaan melaksanakan cadangan serta meneliti semula kaedah pengeluaran simpanan KWSP.
Dalam pada itu, Lim menegaskan tiada perubahan kepada polisi pengeluaran skim KWSP semasa dengan mengekalkan pilihan pengeluaran simpanan pada umur 55 dan 60 tahun.
“Pada masa ini, ahli mempunyai fleksibiliti mengeluarkan simpanan mereka secara sekali gus, sebahagian atau melalui bayaran berkala.”
Katanya, KWSP mempunyai 16.5 juta ahli setakat 31 Ogos lalu, dengan jumlah simpanan RM1.31 trilion (meningkat 9.9% berbanding RM1.20 trilion pada 2024 dan 20.8% berbanding RM1.01 trillion pada 2023).
Daripada jumlah itu, 9 juta atau 55% merupakan ahli aktif, dengan jumlah simpanan RM1.07 trilion.