
Gabenor Wilayah Songkla, Wiranan Penjang berkata letupan terbabit menyasarkan tiang elektrik, namun tiada kecederaan dilaporkan.
“Kami percaya letupan bom itu berkait dengan kejadian serangan bom di Pantai Samila lewat malam tadi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Serangan bom hari ini menyebabkan beberapa tiang elektrik tumbang.
Dalam kejadian 10 malam semalam (waktu tempatan), 2 butir bom meletup di Pantai Samila di wilayah yang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong asing, termasuk rakyat Malaysia.
Sebutir bom itu menyasarkan patung besi ikan duyung di Pantai Samila yang menjadi simbol industri pelancongan wilayah ini, manakala sebutir lagi meletup berhampiran patung tikus dan kucing kira-kira 200m dari lokasi kejadian pertama.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Wiranan berkata, serangan bom malam tadi dipercayai didalangi anggota kumpulan bersenjata Barisan Revolusi Nasional yang aktif di wilayah ini sejak 14 tahun lepas.
“Kedua-dua bom semalam diaktifkan menerusi jam tangan,” kata gabenor itu yang percaya serangan itu bertujuan memusnahkan ekonomi dan industri pelancongan Songkla.
Katanya, pihak berkuasa akan meningkatkan kawalan keselamatan, termasuk memeriksa kenderaan pengunjung terutama menjelang sambutan tahun baru Selasa ini.