
Dalam satu nasihat perjalanan, Kementerian Luar juga menasihatkan warga Malaysia yang berada di wilayah tersebut mengambil langkah berhati-hati dan sentiasa berwaspada.
“Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sedang memantau rapat situasi di Yala, Narathiwat dan Pattani.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, warga Malaysia yang berada di wilayah berkenaan adalah dinasihatkan untuk mendaftarkan keberadaan dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla,” katanya.
Sekiranya berlaku kecemasan, warga Malaysia boleh berhubung dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian 6674 311 062 dan 6674 316 274 atau talian kecemasan 6693 657 0707.
Semalam, Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden tembakan dan letupan bom di Sungai Golok.
Polis Thailand sebelum ini menyatakan berlaku letupan di sebuah pos kawalan keselamatan di luar Pejabat Daerah Sungai Golok di Jalan Sungai Golok-Sungai Padi, dan beberapa tembakan telah dilepaskan oleh sekumpulan penyerang.
Kejadian itu menyebabkan sekurang-kurangnya dua anggota keselamatan Thailand maut, manakala lapan lagi cedera.