
Letupan itu berlaku di wilayah utara Kunduz, daerah di mana puluhan jemaah terbunuh pada serangan bom yang berlaku April lalu.
Jurucakap polis wilayah, Qari Obaidullah Abedi berkata seorang jemaah terbunuh dalam siri letupan di Masjid Alif Birdi di daerah Imam Shahib.
“Bahan letupan itu diletakkan di dalam masjid. Letupan berlaku ketika jemaah sedang menunaikan solat Jumaat,” katanya kepada AFP.
Seorang doktor di hospital wilayah mengesahkan jumlah kematian dan cedera.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu setakat ini.
Pengambilalihan Taliban ke atas Afghanistan daripada kerajaan yang disokong Amerika Syarikat (AS) tahun lalu telah menyaksikan jumlah pengeboman di negara itu menurun, tetapi kumpulan bersenjata Negara Islam (IS) terus menyasarkan komuniti minoriti dalam serangan.
Beberapa siri pengeboman melanda negara itu Ramadan lalu, yang berakhir pada 30 April, beberapa daripadanya didakwa didalangi IS.
Pada 22 April, letupan di sebuah masjid di daerah Imam Shahib mengakibatkan sekurang-kurangnya 36 jemaah terbunuh dan mencederakan ramai lagi dalam serangan maut yang berlaku sejak Taliban kembali berkuasa.
Letupan itu menyasarkan minoriti ahli-ahli komuniti Sufi yang sedang melakukan ritual selepas solat Jumaat.
Cawangan IS serantau di Afghanistan yang majoritinya Sunni telah berulang kali menyerang Syiah dan minoriti seperti Sufi, yang dikatakan sesat.
Pegawai Taliban menegaskan tentera mereka telah mengalahkan IS, tetapi penganalisis berkata kumpulan pelampau itu adalah cabaran keselamatan utama bagi pemerintah Afghanistan sekarang.