Serangan di masjid: 22 suspek ditahan

Serangan di masjid: 22 suspek ditahan

Pihak berkuasa turut menyiasat kemungkinan ada orang dalam pekarangan itu membantu melaksanakan serangan berkenaan.

Serangan itu yang terburuk di Pakistan dalam tempoh lima tahun. (Gambar AP)
PESHAWAR:
Polis Pakistan menahan 23 orang berhubung serangan bom di masjid dalam pekarangan ibu pejabat polis yang membunuh 101 orang.

Pihak berkuasa turut menyiasat kemungkinan ada orang dalam pekarangan itu membantu melaksanakan serangan berkenaan, kata seorang pegawai kanan polis wilayah kepada AFP yang enggan dikenali.

Seorang penyerang bunuh diri menyelinap masuk pekarangan dikawal rapi itu di Peshawar sebelum meletupkan bom dalam kalangan jemaah yang menunaikan solat pada Isnin. Serangan itu menyebabkan satu tembok runtuh yang turut menghempap beberapa polis.

“Kami telah menahan individu dari ibu pejabat polis itu untuk menyiasat bagaimana bahan letupan berkenaan dapat dibawa masuk, dan sama ada anggota polis turut terlibat,” katanya.

Ketua pasukan polis Khyber Pakhtunkhwa, Moazzam Jah Ansari sebelum ini memberitahu pemberita bahawa penyerang bunuh diri itu memasuki masjid berkenaan membawa 10-12kg letupan dengan berpura-pura menjadi anggota jemaah.

Beliau berkata satu kumpulan militan yang kadangkala dikaitkan dengan Taliban Pakistan dipercayai mendalangi serangan itu.

Kejadian itu serangan paling buruk di Pakistan dalam lebih lima tahun.

“Paling membimbangkan adalah kemungkinan serangan kedua berlaku… seorang pengebom mungkin meletupkan dirinya di pasar,” kata kontraktor binaan Naeemullah Jan, 55.

Seorang lagi penduduk Peshawar, Muhammad Haneef Awan berkata: “Dulu saya rasa selamat apabila polis ada, namun kini bila melihat kereta atau anggota polis ia menakutkan kerana bimbang mereka akan diserang seterusnya saya turut tercedera.”

Polis berkata serangan itu sebagai membalas dendam terhadap polis yang memerangi kebangkitan semula kumpulan militan sejak Taliban Afghanistan kembali berkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.