Saya akan rindu gelak tawanya, kata rakan sekerja Adib

Saya akan rindu gelak tawanya, kata rakan sekerja Adib

Rakan sekerja menyifatkan Muhammad Adib Mohd Kassim ialah budak baik yang sentiasa ceria dan tidak mengumpat.

Nama Muhammad Adib Mohd Kassim tertera dalam carta organisasi Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.
SUBANG JAYA:
Rakan sekerja menyifatkan Muhammad Adib Mohd Kassim ialah anggota bomba profesional yang tidak lokek senyuman.

Mohd Khairul Nizam Mohd Fauzi, 25, yang sudah 4 tahun bekerja dengan Adib di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya berkata, arwah tidak pernah menolak tugasan diberikan kepadanya.

“Kalau jabatan panggil atau minta, dia mesti buat. Saya terasa sangat (kehilangannya).

“Kita masih terkejut dengan apa yang berlaku sebab kita dapat berita keadaannya bertambah baik. Tiba-tiba, kita dapat berita dia tak sihat.

“Saya akan rindu gelak ketawanya,” katanya kepada FMT yang menyifatkan Adib sebagai anggota bomba sangat profesional.

Mohd Khairul Hafizh berkata, Adib gemar memancing.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Adib antara anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dikerahkan ke tempat kejadian, susulan protes penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 yang menyaksikan perusuh membakar beberapa kenderaan.

Topi keselamatan Muhammad Adib Mohd Kassim diletakkan atas rak dengan nombor sirinya 17476.

Pemuda berusia 24 tahun itu cedera parah selepas ditarik keluar dari kenderaan EMRS dan diserang sekumpulan perusuh di depan kuil.

Beliau meninggal dunia 9.41 malam tadi, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.

Khairul Nizam berkata, Adib akan menceritakan pengalaman dan perkara yang berlaku ketika bertugas kerana mereka berada dalam pasukan berbeza.

Seminggu sebelum insiden rusuhan itu, katanya, mereka berdua berbual lama dan berbincang mengenai sarung tangan perubatan yang mereka gunakan.

“Perbualan terakhir kami ialah sebelum operasi (pada hari rusuhan berlaku). Dia kata kenderaan EMRS tak ada sarung tangan, jadi saya bagi duit untuk beli sarung tangan.

“Dia tanya mengenai baki dan saya kata simpan untuk isi minyak,” katanya sambil menambah mereka kadangkala akan menghabiskan masa bersama ketika bercuti atau pergi memancing di tasik Puchong.

“Dia seorang yang ceria. Bila bersama orang tak dikenali, dia pendiam sedikit.”

Mohd Khairul Nizam Mohd Fauzi menyifatkan Adib seorang yang ceria.

Sementara itu, Mohd Khairul Hafizh, 30, berkata arwah gemar memancing dan akan menyertai sebarang aktiviti anjuran balai itu.

“Perwatakan Adib sangat baik, dia tak pernah menjawab. Kalau salah akan mengaku. Kalau tegur, dia senyum.

“Dia antara yang termuda. Budak baik dan tak mengumpat,” kata Khairul yang juga anggota EMRS seperti Adib di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.

Beliau sedih dengan pemergian Adib kerana mereka berkhidmat di balai itu sejak 3 tahun lalu, tetapi dalam pasukan berlainan.

“Yang peliknya, tugas dia menyelamat, tapi ini yang berlaku. Tak pernah dalam sejarah kami perkara begini berlaku.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.