
Ketua Polis Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pemilik premis pada 11.33 malam Sabtu memaklumkan pergaduhan antara dua pekerjanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang juga warga tempatan berusia 37 tahun dipercayai minum minuman keras bersama suspek warga Myanmar di premis itu sebelum berlaku pertengkaran.
Beliau berkata, setibanya di lokasi, polis mendapati mangsa tidak berbaju dan memegang parang di tangan kiri.
“Terdapat kesan kecederaan pada bahu kanan, kepala bahagian kiri, leher, dagu kiri dan kesan lubang di bahu mangsa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, polis sedang memburu suspek yang melarikan diri selepas kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.