Polis buru 2 pelajar lolos dari sekolah juvana

Polis buru 2 pelajar lolos dari sekolah juvana

Kehilangan 2 pelajar lelaki masing-masing berusia 14 dan 17 tahun disedari semasa warden membuat panggil nama di depan dewan makan untuk pemeriksaan pelajar.

2 pelajar terbabit baru sahaja melaporkan diri di Sekolah Tunas Bakti pada 13 Dis lepas. (Gambar Facebook)
BUTTERWORTH:
Dua pelajar lelaki Sekolah Tunas Bakti Teluk Air Tawar, melarikan diri daripada sekolah juvana itu pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis menerima laporan daripada pengurusan sekolah itu pukul 9.21 malam Sabtu memaklumkan 2 pelajar lelaki masing-masing berusia 14 dan 17 tahun melarikan diri dari sekolah tersebut.

Beliau berkata kehilangan 2 pelajar itu disedari semasa warden membuat panggil nama di depan dewan makan untuk pemeriksaan pelajar di situ sebelum mendapati mereka tiada dalam barisan dan disyaki melarikan diri.

“Pihak sekolah bersama polis melakukan pencarian 2 pelajar itu di kawasan Teluk Air Tawar, namun mereka yang masing-masing berasal dari Kampung Naga Ibu, Tumpat di Kelantan dan Bukit Kecil di Bukit Mertajam dekat sini gagal ditemui,” katanya hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan awal polis mendapati kedua-dua pelajar itu baru sahaja melaporkan diri di sekolah berkenaan iaitu pada 13 Dis lepas dan kali terakhir dilihat sebelum makan malam di dewan makan sekolah tersebut.

Noorzainy berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kebenaran atau permohonan pergerakan keluar diterima daripada 2 pelajar itu atau anggota keluarga mereka.

“Pakaian terakhir yang dipakai oleh 2 pelajar itu ialah T-shirt warna biru (jenama dan logo tidak pasti) dengan seluar panjang warna hitam dan T-shirt warna putih (jenama dan logo tidak pasti) dengan seluar panjang warna hitam, ” katanya.

Beliau berkata tiada kamera litar tertutup di kawasan dalam dan luar sekolah itu dan polis sedang berusaha mengesan 2 pelajar itu serta meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Katanya siasatan lanjut juga masih dijalankan bagi mengetahui cara 2 pelajar itu keluar dari sekolah berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.