
Presiden Majlis Pemandu Pelancong Malaysia (MTGC), Jimmy Leong Wie Kong, mendakwa kebanyakan warga asing yang masuk ke negara ini telah diyakinkan melalui ‘kaunter khas’ tanpa pemeriksaan teliti oleh pegawai imigresen.
“Saya percaya semua ini kesan daripada pegawai-pegawai dahulu yang terlibat dalam rasuah dan telah membina reputasi tertentu.
“Mereka telah mencipta satu sistem di mana pelancong atau individu negara tertentu melalui ‘kaunter khas’ yang boleh diatur atau ‘dipermudahkan’ kemasukan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas laporan tindakan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menolak kemasukan 131 warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 11 Julai lalu, yang ada antaranya cuba masuk ke negara ini dengan alasan melancong namun hanya membawa RM500 untuk sebulan.
Seramai 96 warga Bangladesh, lelaki Pakistan (30) dan Indonesia (5) dikesan dengan kesalahan termasuk tempahan penginapan meragukan dan kegagalan melapor diri di kaunter imigresen.
Jimmy mendakwa, reputasi ‘mudah lolos’ tersebar luas sehingga menyebabkan ejen tempatan dan sindiket luar negara berani mengambil risiko untuk terus menghantar individu dari negara tertentu masuk ke Malaysia dengan cara meragukan.
“Ini bukan kes terpencil. Ia adalah kegiatan sindiket telah lama berakar umbi dan stigma terhadap negara kita akan mengambil masa untuk dibersihkan,” katanya.
Kelmarin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua warga Bangladesh termasuk seorang pengarah syarikat pelancongan disyaki mendalangi kemasukan warga asing dengan memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa di KLIA.
Sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dikenali ‘counter setting’ yang membolehkan warga asing masuk ke negara ini tanpa menjalani prosedur pemeriksaan imigresen yang ketat.
Siasatan mendapati setiap individu penguat kuasa terlibat diberi habuan antara RM1,800 hingga RM2,500.
Justeru, Jimmy menggesa pengurusan imigresen di lapangan terbang utama distruktur semula dengan menempatkan seorang pegawai kanan bagi menyelia kes meragukan atau memerlukan penilaian lanjut.
Katanya, menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada pegawai kaunter untuk membuat keputusan menolak kemasukan pelawat dikhuatiri akan membuka peluang kepada rasuah lebih serius.
“Lapangan terbang kita sudah dikenali dengan isu berkaitan rasuah. Kalau kuasa sepenuhnya diberi kepada pegawai kaunter, ini membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.
“Kalau ada pelawat yang tidak layak masuk, keputusan itu mesti dirujuk kepada pegawai kanan dan perlu direkodkan secara rasmi. Bukan hanya keputusan individu di kaunter,” katanya.
Menurutnya, selain itu bagi pelancong berkumpulan, kerajaan boleh menetapkan syarat wajib supaya mengupah pemandu pelancong sepanjang lawatan ke negara ini bagi mengelakkan penipuan.
“Ejen tempatan atau pemandu pelancong boleh jadi bukti bahawa kumpulan yang masuk benar-benar pelancong tulen. Kalau mereka masuk tanpa ejen, kita dah boleh ragui dari situ,” kata Jimmy.