Anggota bomba diserang perusuh meninggal dunia

Anggota bomba diserang perusuh meninggal dunia

Jenazah Muhammad Adib Mohd Kassim akan dikebumikan di Kedah esok.

Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia 9.41 malam Isnin.
PETALING JAYA:
Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah dalam rusuhan di depan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, 3 minggu lalu, meninggal dunia hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata mangsa yang berusia 24 tahun itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam ini.

Katanya, jenazah Adib akan diuruskan di IJN malam ini, sebelum dihantar ke Kedah untuk dikebumikan.

“Anggota keluarga Adib berada di sisinya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir malam ini.

“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” katanya ketika ditemui di IJN malam ini.

Semalam, IJN dalam kenyataan menjelaskan kesihatan Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur.

Sehubungan itu, doktor memasukkan semula sistem Veno Venous ECMO mulai 9 malam Sabtu lalu bagi membantu beliau bernafas.

Katanya, Adib turut memerlukan sokongan dialisis kerana fungsi buah pingganya tidak bertambah baik.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Adib antara anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dikerahkan ke tempat kejadian, susulan protes berkaitan penempatan semula Kuil Sri Maha Mariamman yang menyaksikan perusuh membakar beberapa kenderaan.

Beliau dilapor cedera parah selepas ditarik keluar dari kenderaan EMRS dan diserang sekumpulan perusuh di depan Kuil Sri Maha Mariamman.

Adib dimasukkan ke unit rawatan rapi Pusat Perubatan Subang Jaya kira-kira 1 pagi 27 November lalu, sebelum dipindahkan ke IJN, keesokan malamnya.

Sementara itu, rakyat termasuk ahli politik dan menteri mengucapkan takziah kepada keluarga Adib.

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang pernah melawat Adib di IJN sedih dengan pemergian Adib.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga rohnya ditempatkan di kalangan mereka yang beriman,” tulisnya dalam Twitter.

Pada masa sama, pengguna media sosial mahu individu yang bertanggungjawab ke atas kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan.

Adib sepatutnya berkahwin dengan Nurul Najihah Mohd Radzi, 25, pada 21 Disember ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.