37 tawanan bebas selepas rusuhan penjara di Guatemala tamat

37 tawanan bebas selepas rusuhan penjara di Guatemala tamat

Tujuh anggota polis maut akibat serangan bersenjata sebagai tindak balas terhadap tindakan kerajaan ke atas kumpulan jenayah, manakala 10 lagi cedera.

Pengawal penjara mengawasi banduan di penjara keselamatan maksimum Renovacion 1 di Escuintla, Guatemala. (Gambar EPA Images)
MEXICO CITY:
Semua kakitangan penjara Guatemala yang dijadikan tawanan sehari sebelumnya dibebaskan selepas rusuhan di beberapa fasiliti pemulihan berjaya ditamatkan, menurut Kementerian Dalam Negeri negara itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Operasi bersama Direktorat Jeneral Sistem Penjara, Polis Awam Kebangsaan dan tentera membolehkan rusuhan di Sektor 11 Pusat Tahanan Zon 18 serta Pusat Tahanan Fraijanes 2 ditamatkan, sekali gus membebaskan 37 pengawal penjara,” kata kementerian itu dalam hantaran X.

Kementerian Dalam Negeri menjelaskan kawalan ke atas dua fasiliti itu dipulihkan sepenuhnya dan semua kakitangan penjara yang dibebaskan sedang dirawat.

Kekacauan besar-besaran dalam sistem penjara Guatemala bermula 17 Jan lalu di beberapa penjara, termasuk Renovacion 1, Fraijanes 2 dan pusat tahanan Zon 18.

Banduan yang mempunyai kaitan dengan geng Barrio 18 menawan kakitangan penjara dan menuntut peraturan lebih longgar serta pemindahan pemimpin mereka.

Selepas kawalan ke atas sebuah penjara dirampas semula, gelombang serangan bersenjata terhadap anggota polis berlaku di seluruh negara mengakibatkan kematian serta memaksa langkah keselamatan diperketatkan.

Kurang 24 jam selepas rusuhan bermula, pasukan keselamatan awam dengan sokongan tentera berjaya menguasai semula penjara keselamatan maksimum Renovacion 1 dan meneutralkan ketua-ketua rusuhan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Marco Antonio Villeda, operasi itu berjaya dilaksanakan tanpa sebarang kematian dalam kalangan pasukan keselamatan atau banduan dan sembilan tawanan yang ditahan dibebaskan dalam keadaan selamat.

Pada masa sama, Villeda memaklumkan kematian tujuh anggota Polis Awam Kebangsaan akibat serangan bersenjata sebagai tindak balas terhadap tindakan kerajaan ke atas kumpulan jenayah, manakala 10 lagi cedera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.