
Bekas menteri kewangan II itu yang ditemui semasa pengebumian bekas wartawan kanan tersebut di sini berkata, Zainuddin seorang yang berjiwa kental dan tidak boleh ditakutkan.
“Dia tak takut, dia yakin kepada kebenaran. Itu kelebihan yang saya lihat.
“Dalam banyak keadaan dia rileks, suka ketawa, suka cerita tentang kisah lama, dan saya terasa kehilangan sahabat yang begitu karib,” katanya kepada pemberita di Surau At-Tarbiah Taman Melawati hari ini.
Zainuddin, 79, disembahyangkan pada jam 9 pagi di surau berkenaan dan selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Klang Gates pada jam 10.20 pagi.
Beliau meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor kira-kira jam 6.40 petang semalam akibat serangan jantung.
Mengimbau kenangan dengan Zainuddin, Nor Mohamed berkata, Zainuddin pernah memintanya menulis sebuah buku mengenai kewangan Islam.
“Dia kata tak ada buku dalam Bahasa Melayu. Waktu itu tahun 1995, tak ada buku dalam Bahasa Melayu. Dia minta saya tulis,” katanya.
Nor Mohamed berkata, Zainuddin merayu kepadanya banyak kali untuk menulis buku tersebut.
“Dia merayu banyak kali minta saya tulis dan saya tulis juga dan dilancarkan tahun 1996,” katanya.
Bekas ketua pengarang Utusan Malaysia Tan Sri Johan Jaafar yang turut hadir pula menyifatkan Zainuddin sebagai seorang wartawan tulen.
“Saya anggap beliau wartawan tulen, orang yang memang sehingga akhir hayatnya jiwa dan darahnya adalah darah wartawan.
“Beliau adalah seorang yang komited dan dedikasi. Beliau seorang pejuang dan beliau menegur banyak perkara tanpa risau dan tanpa ragu,” katanya.
Johan berkata, Zainuddin juga seorang yang kritikal tentang apa sahaja isu, terutamanya isu membabitkan cauvisme.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.