Bekas KSU perbendaharaan, Othman Rijal meninggal dunia

Bekas KSU perbendaharaan, Othman Rijal meninggal dunia

Othman meninggal dunia 5 petang tadi akibat radang paru-paru pada usia 80 tahun.

Othman Rijal
Othman Rijal memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada 1967 sebagai penolong pegawai daerah di Sepang, Selangor, sebelum memegang jawatan-jawatan penting di beberapa kementerian. (Gambar Othman Rijal)
PETALING JAYA:
Bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Othman Rijal meninggal dunia pada usia 80 tahun.

Anaknya, Ridzwan Othman, mengesahkan kepada FMT bahawa Othman meninggal dunia pada 5 petang tadi akibat radang paru-paru.

Othman memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada 1967 sebagai penolong pegawai daerah di Sepang, Selangor, sebelum memegang jawatan-jawatan penting di beberapa kementerian, termasuk sebagai ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan.

Jawatan terakhir beliau dalam perkhidmatan awam sebelum bersara pada 2000 ialah sebagai ketua setiausaha perbendaharaan.

Ketika itu, beliau juga berkhidmat sebagai wakil Kementerian Kewangan dalam lembaga pengarah Malaysia Airlines (MAS), Petronas, Khazanah Nasional Bhd dan Bank Negara Malaysia.

Selepas bersara, beliau memegang pelbagai jawatan dalam sektor korporat, termasuk sebagai pengarah urusan Malaysia Airports Holdings Berhad; pengerusi bukan eksekutif Deutsche Bank (Malaysia) Bhd, Ikram Sdn Bhd dan Penang Port Sdn Bhd; serta pengerusi Bank Industri & Teknologi Malaysia Berhad dan Export-Import Bank Malaysia Berhad.

Othman memperoleh ijazah sarjana dalam dasar awam dan pentadbiran dari University of Wisconsin di Amerika Syarikat.

Beliau meninggalkan tiga orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.