Penganalisis ekonomi Madeline Berma meninggal dunia

Penganalisis ekonomi Madeline Berma meninggal dunia

Tokoh ekonomi itu meninggal dunia pada usia 64 tahun pagi tadi.

Madeline Berma
Madeline Berma memberikan sumbangan besar dalam pembangunan ekonomi di Sarawak dan nasional.
KUCHING:
Penganalisis ekonomi, Madeline Berma, meninggal dunia pada usia 64 tahun di kediamannya di Bandar Baru Bangi, 11.30 pagi tadi.

Perkara itu disahkan anak buah mendiang, Basil Cliffton Calvert, yang memaklumkan jasad mendiang akan dibawa pulang ke Kampung Siol Kandis, Kuching untuk urusan pengebumian.

“Perkara ini masih dalam perbincangan namun sekiranya semuanya berjalan lancar, kemungkinan jasad mendiang akan dibawa pulang esok,” katanya.

Menurut Calvert, Berma menghidap penyakit buah pinggang dan sedang menjalani rawatan dialisis. Punca kematian belum dipastikan.

Berma yang berasal dari Kuching merupakan tokoh ekonomi yang memberikan sumbangan besar dalam pembangunan ekonomi di Sarawak dan nasional.

Beliau dilantik sebagai pesuruhjaya di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan merupakan orang Iban pertama memegang jawatan tersebut.

Berma juga ahli Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) yang dilantik oleh Premier Abang Johari Tun Openg pada Januari lepas bagi membantu perancangan ekonomi Sarawak.

Beliau turut memegang beberapa jawatan perunding dan menganggotai jawatankuasa nasional kerajaan termasuk Majlis Penasihat Wanita serta pelbagai jawatankuasa perundingan dasar di peringkat persekutuan.

Beliau dikenali sebagai penganalisis yang sering menjadi rujukan media untuk mendapatkan pandangan bernas dan analisis komprehensif mengenai isu ekonomi dan pembangunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.