
Thomas dalam satu kenyataan hari ini berkata peguam mewakili pihak yang terlibat dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Subang Jaya bermesyuarat awal minggu ini dan mencadangkan satu penyelesaian menyeluruh.
Penyelesaian itu menyaksikan pemaju, One City Development Sdn Bhd, akan memindah hakmilik tanah, yang sekarang diduduki kuil itu secara tidak sah, kepada satu amanah yang akan ditadbir Mahkamah Tinggi.
Pemindahan itu “tertakluk kepada terma yang akan dipersetujui,” katanya.
Seterusnya, peguam negara, selaku penjaga kepentingan awam berkaitan amanah khairat, akan memohon mahkamah mengeluarkan satu perintah membentuk amanah dan melantik pemegang-pemegang amanah bagi menguruskan amanah dan kuil itu.
“Mahkamah akan diminta untuk melantik seorang penerima…yang boleh diterima oleh semua pihak bertelagah, sebagai seorang pegawai mahkamah untuk mengawal dan menjaga ke atas pemegang-pemegang amanah, serta tertakluk kepada pantauan mahkamah,” kata Thomas.
“Pada masa yang sesuai, Mahkamah Tinggi akan diminta untuk memindahkan keempunyaan tanah yang diatasnya kuil terletak kepada pemegang-pemegang amanah.”
Thomas berharap pihaknya akan dilibatkan dalam semua permohonan berhubung kuil itu di Mahkamah Tinggi “bagi memastikan keadilan dan keberkecualian antara pelbagai kumpulan”.
Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya itu menyaksikan rusuhan menyusuli konflik memindahkan kuil itu.
Dalam satu penghakiman persetujuan yang dicapai di mahkamah pada Mac 2014, pelbagai pihak bersetuju One City akan menyediakan tanah untuk sebuah kuil baharu, serta sumbangan RM1.5 juta, bagi tanah yang sekarang diduduki kuil itu.
Menurut persetujuan itu, kuil itu sepatutnya berpindah pada 22 November lalu.
Bagaimanapun, keganasan tercetus yang menyaksikan beberapa kenderaan dibakar dan bangunan dirosakkan.
Tanah kuil seluas 1.1 ekar itu dianggarkan bernilai antara RM14.37 juta dan RM15.33 juta.